Surat layang disebar di kongres AMK
Pengedaran surat layang didakwa berlaku dalam kempen pemilihan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) dalam Kongres Nasional di Seremban yang bermula hari ini.
Pengedaran surat layang didakwa berlaku dalam kempen pemilihan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) dalam Kongres Nasional di Seremban yang bermula hari ini.
Surat layang tersebut dikatakan diletakkan dalam beg perwakilan. Kongres nasional AMK kali ini dihadiri oleh 395 perwakilan dari 96 bahagian.
Bagaimanapun, pihak urusetia pemilihan parti berjaya mengesan surat tersebut dan mengarahkan pihak keselamatan merampasnya.
Isu pengedaran surat layang itu telah dibangkitkan oleh pengerusi mesyuarat AMK, Ramli Isa sebelum pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin menyampaikan ucapan dasar pagi tadi.
Menurutnya, kandungan surat layang mengecam proses pemilihan AMK kali ini.
Shamsul Iskandar berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan mengenai pengedaran surat layang tersebut.
Katanya, pihak keselamatan telah menemui dua salinan surat layang tersebut.
"Setakat ini kami tidak tahu pihak mana yang melakukannya tetapi saya merasakan ia dilakukan oleh pihak luar.
Sedang disiasat
"Saya juga tidak tahu kandungan surat layang tersebut, tetapi siasatan sedang dibuat," katanya.
Shamsul Iskandar berkata, parti telah mengingatkan ahli berkempen secara sihat dengan tidak memburukkan peribadi orang lain.
Sementara itu dalam ucapannya, pemangku Ketua AMK itu pihaknya akan mencari jalan supaya ahli pergerakan itu dapat berkomunikasi secara lebih efektif dengan pucuk pimpinan parti.
Untuk itu, katanya, ahli-ahli boleh menubuhkan blog masing-masing kerana kosnya rendah selain sangat berkesan.
"Cara tradisional yang digunakan sekarang seperti program ceramah dan penyebaran risalah memerlukan kos, tetapi blog lebih cepat dan murah," katanya.
Shamsul Iskandar berkata, ahli AMK juga perlu bertanggungjawab untuk memberikan idea dan buah fikiran untuk dilaksanakan oleh kepimpinan pergerakan ini.
Katanya, ia bukan sekadar maklum balas dan cadangan ahli, malah pandangan masyarakat akan turut diberi perhatian khusus," katanya.
Beliau berkata, AMK sedia menjadi mata dan telinga rakyat dan pergerakan itu sedia membantu menyelasaikan masalah mereka.

