ROS tolak permohonan Anwar tanding presiden PKR
Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menolak permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibenarkan bertanding jawatan presiden PKR dalam kongres nasional parti itu di Seremban esok.
Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menolak permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibenarkan bertanding jawatan presiden PKR dalam kongres nasional parti itu di Seremban esok.
Difahamkan PKR akan mengeluarkan kenyataan rasmi pagi esok mengenai kedudukan Anwar berhubung pertandingan jawatan presiden.
Manakala Setiausaha Agung PKR, Datuk Kamarul Bahrin Abas berkata sehingga keputusan rasmi esok, Anwar dianggap bertanding jawatan presiden.
Keputusan ROS menolak permohonan bekas timbalan perdana menteri itu diketahui petang tadi.
Anwar dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga April tahun depan selepas disabitkan dengan hukuman salahguna kuasa sebelum ini.
Sebelum itu, Pegawai Khas Anwar, Sim Tzi Tzim, memberitahu pihak media mengenai perkara tersebut.
Buat rayuan
Bagaimanapun, kata Sim, Anwar tidak akan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden.
Katanya, penasihat PKR itu telah membuat rayuan terhadap keputusan ROS itu, sambil menambah memang pernah ada ahli politik yang dijatuhkan hukuman, dibenarkan aktif dalam politik sejurus selepas mereka dibebaskan.
Rayuan Anwar kini terserah kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad. Akta Pertubuhan memberi kuasa kepada menteri berkenaan untuk memberi pengecualian kepada Anwar.
"Beliau akan bertanding," kata Sim.
"Anwar menerima notis dari ROS itu kira-kira jam 4.20 petang tadi dan beliau terus membuat rayuan kepada Radzi," katanya.
Pemilihan AMK tergendala
Selain Anwar, pertandingan bagi jawatan presiden membabitkan penyandangnya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan bekas bendahari PKR, Abdul Rahman Osman.
Sementara itu, pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) baru selesai, selepas tergendala kerana senarai pemilih hilang.
Ekoran itu, sesi perbahasan oleh perwakilan dan wakil AMK negeri telah dipercepatkan.
Proses pemilihan AMK dijadualkan bermula jam 2.30 petang tetapi hanya dapat dijalankan lewat petang ini.
Ekoran itu tercetus spekulasi bahawa kehilangan senarai nama pemilih itu adalah kerana perbuatan khianat.
Bagaimanapun ada pihak yang mengatakan ia adalah disebabkan oleh masalah teknikal.
Manakala proses pemilihan bagi pergerakan Wanita berjalan lancar dan selesai pada tengaharinya dan diikuti dengan proses pengiraan.

