Rodziah Ismail dipilih sebagai Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas menewaskan seorang lagi calon, Elizabeth Wong dengan majoriti besar.

Roziah, 61, yang sebelum ini merupakan naib ketua Wanita, memperolehi 206 undi untuk menewaskan Elizabeth yang mendapat 62 undi.

Jawatan ketua Wanita PKR dimenangi tanpa bertanding oleh Zuraida Kamaruddin, 59, yang sebelum ini merupakan naib ketua sayap tersebut.

Manakala tiga jawatan naib ketua dimenangi oleh Dr Zaliha Mustaffa, Haniza Talha and Noorsham Abu Samah @ 'Ann'.

Seramai 20 orang dipilih sebagai ahli exco Salma Ismail, Salmah Ismail, Che Siti Sarina Che Ismail, Dr Daroyah Alwi, Hajah Hasnah Yahya, Hajah Fauziyah Hamzah, Fathmawaty Salim, Gan Pei Nei, Salwah Abu Hassan, Hariyati Ahmad, Hasnah Hashim, Nurin Ain Abdullah, Rozaini Mohd Rosli, Evelyn Gobile, Azura Ibrahim, Kamariah Abu Hasan , Rohani Bakar, Fuziah Mahadi, Saira Shameen, Tuan Marja Tuan Mat.

Ketika ditemui malaysiakini , Zuraida (foto) berkata tugas utamanya sekarang ialah untuk menyediakan ahli-ahli pergerakan itu bagi menghadap pilihanraya umum.

Pilihanraya umum

Katanya, sayap wanita ditugaskan untuk memberi latihan kepada petugas parti itu dalam menghadapi pilihanraya serta menyelaraskan kempen dari rumah ke rumah.

"Dalam jangka masa panjang, kita akan memperjuangkan lebih banyak isu-isu yang membabitkan kepentingan wanita. Dalam bidang-bidang tertentu, wanita mesti diberi keistimewaan dan keutamaan," kata Zuraida.

Ditanya mengenai barisan kepimpinan barunya, beliau menyifatkan sebagai 'mantap, muda dan bersemangat".

Sementara itu, Rodziah berkata beliau akan bekerjasama dengan Elizabeth pada masa depan dalam memperjuangkan isu-isu wanita.

Beliau juga menyifatkan jumlah ahli bukan Melayu yang bertanding bagi jawatan dalam pergerakan Wanita kali ini sebagai "menggalakkan". Berita asal