Peringatan Pengerusi BN Johor, Khaled Nordin agar jentera BN tidak terlalu yakin dalam mengharungi dua pilihan raya kecil (PRK) pada 9 September ini merupakan gesaan untuk mereka mempertingkatkan usaha memenangkan calon wakil kerajaan.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu perlu ditingkatkan bagi mengelakkan ahli parti itu terpedaya dengan propaganda pihak pembangkang.

“Maksud Datuk Seri Khaled supaya kita menggandakan usaha di kalangan pengundi-pengundi Umno, yang saya sebut sebagai pengundi putih untuk bekerja lebih keras lagi dan jangan terkeliru dengan propaganda pihak pembangkang untuk mengelirukan (pengundi) melibatkan isu-isu 3R dan isu-isu yang berkait dengan soal (pentadbiran kerajaan) pusat dan negeri.

“Saya yakin Datuk Seri Khalid dengan seluruh jentera Umno-BN dan juga menteri besar Johor (Onn Hafiz Ghazi) telah memobilisasikan semua jentera termasuk jentera penerangan untuk menolak kekeliruan itu jika masih ada (berlaku kekeliruan) di kalangan pengundi-pengundi Melayu khususnya pengundi-pengundi Umno," ujarnya.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Desa @ Simpang Jeram : Mini Ekspo Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Keusahawanan Desa di Sungai Abong, Muar, lewat petang tadi.

Mohamed Khaled semalam dilapor berkata, ada penyokong tegar parti itu masih keliru dengan ketiadaan calon BN dalam PRK berkenaan selain wujud dalam kalangan mereka yang masih tidak dapat menerima kerjasama antara PH-BN.

‘Calon PH banyak menabur jasa’

Mengulas lanjut, Zahid yang juga timbalan perdana menteri dalam ucapannya menyifatkan pengundi di Simpang Jeram akan mengalami kerugian sekiranya tidak memilih calon PH Nazri Abdul Rahman pada PRK 9 September ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, berkata ini kerana Nazri yang pernah berkhidmat sebagai jurutera di Majlis Perbandaran Muar telah banyak berjasa dan menabur bakti kepada penduduk di Muar, termasuk di Simpang Jeram selama ini.

"Beliau telah banyak berbakti selama ini tentunya berbanding dengan seorang lagi (calon), ya seorang lagi saya tak mahu sentuh tentang peribadi. Tetapi saya lakukan perbandingan kedua-duanya, yang terbaik yang harus dipilih oleh pengundi di Simpang Jeram ini adalah Nazri," katanya.

Turut hadir Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Nazri.

Ahmad Zahid berkata Nazri juga dilihat sebagai calon yang sangat berkaliber memandangkan dia juga sedang melengkapkan kajian doktor falsafah (PhD) berkaitan banjir.

Kata Zahid disebabkan itu jugalah, penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Salahuddin Ayub, turut memilih Nazri bagi membantu allahyarham menjaga kawasan itu selama dua penggal.

Katanya kestabilan politik merupakan satu formula utama untuk menggarap kemajuan di sesuatu kawasan atau di sesebuah DUN dan ia sudah tentu harus diterjemah di peringkat negeri.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datoh itu turut menyangkal dakwaan PH-BN berdepan situasi yang sukar di DUN Simpang Jeram.

Sebaliknya, Zahid berkata dia percaya dengan sokongan yang akan diterjemahkan pengundi baik di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.