PKR diminta nilai kawasan p'raya untuk ditandinginya
Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa supaya membuat penilaian berdasarkan fakta terkini dalam menentukan kawasan pilihanraya untuk ditandingi kerana suasana 1999 telah berubah.
Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa supaya membuat penilaian berdasarkan fakta terkini dalam menentukan kawasan pilihanraya untuk ditandingi kerana suasana 1999 telah berubah.
"Tahun 1999 era reformasi di merata tempat, manakala dalam 2004 berlaku perubahan dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya. Mungkin senario akan datang lebih berbeza," kata Wakil Melaka Mat Shah Arip dalam sesi perbahasan dalam kongres nasional PKR di Seremban hari ini.
Katanya, antara keutamaan ialah mengenalpasti calon-calon PKR dengan lebih awal supaya mereka dapat turun ke padang menemui pengundi dalam masa yang terdekat.
Beliau berkata, PKR perlu bertanding di kawasan-kawasan yang calonnya boleh diterima masyarakat dan untuk itu calonnya mesti komited dan bukannya yang menimbulkan masalah kepada parti.
Sebelum itu, beliau menegur sikap pucuk pimpinan PKR yang menurutnya bersikap tidak menepati masa.
Pemimpin pelapis
Mat Shah berkata, era tidak menepati masa tidak boleh dan tidak sepatutnya berlaku kepada pucuk pimpinan parti yang mahu berjaya dalam pilihanraya umum akan datang.
"Ini jam orang Melayu...sudah 10 tahun macam ini. Kalau cara ini macam mana hendak menang (pilihanraya)," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden hari hari ini.
Mat Shah merujuk kepada beberapa pemimpin utama PKR yang datang lewat untuk memulakan program membahaskan ucapan dasar presiden.
"Sepatutnya dimulakan jam 9 pagi tetapi jam 9.15, jam 9.20 pemimpin belum ada. Jangan masa berubah tetapi kita tidak berubah," katanya.
Bagaimanapun Mat Shah tidak menyebut nama pemimpin terbabit tetapi beliau mahu mereka memberi perhatian khusus mengenai perkara tersebut.
Sementara itu, perwakilan Terengganu, Razali Alias berkata, yang juga Ketua PKR bahagian Dungun berkata, parti perlu melahirkan pemimpin pelapis bagi menggantikan Wan Azizah dan Anwar apabila mereka bersara nanti.
Katanya, apakah dengan keadaan yang berlaku sekarang ini, parti sudah memiliki pemimpin pemuda yang berwibawa dan bersedia untuk memimpin parti pada masa depan.

