Seorang lelaki direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang penjawat awam akibat pergaduhan di Machang, Kelantan, dalam kejadian semalam.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 46 tahun dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Tanah Merah.
Suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga Ahad bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Malaysiakini semalam melaporkan seorang lelaki bergaduh dengan seorang penjawat awam hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia susulan kejadian di Jalan Pasir Putih - Machang kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Motis pergaduhan dikatakan berpunca kerana suspek mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata mangsa berusia 51 tahun mengalami kecederaan dan pendarahan serius di bahagian muka dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Menurutnya, suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur manakala mangsa dan isteri suspek adalah penjawat awam yang bekerja di sebuah jabatan yang sama di Kuala Krai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilaporkan.
