Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo telah membantu pihak polis mengenal pasti aset bernilai lebih RM93.2 juta yang dibeli menggunakan dana 1MDB, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Bercakap pada sidang media petang ini, Ayob berkata aset berkenaan termasuk beberapa hartanah di AS, London dan Singapura, selain sembilan lukisan termasuk dua lukisan oleh pelukis terkenal Pablo Picasso.

Menurut Ayob, polis telah merampas sejumlah aset yang diisytiharkan oleh Loo yang disimpan di Malaysia.

Manakala bagi aset yang berada di luar negara, kerja-kerja untuk menyita dan membuat rampasan sedang dijalankan dengan tujuan untuk mengembalikannya kepada kerajaan.

"Nilai keseluruhan aset dan hartanah dirampas RM93.2 juta. Ini nilai semasa pembelian 2013. Mungkin sekarang nilainya lebih tinggi sekarang ini,” kata Ayob pada sidang media di Bukit Aman.

Ayob berkata Loo sebelum ini telah menandatangani akuan berkanun pada 23 Ogos untuk mengembalikan harta dan aset tersebut kepada 1MDB.

Loo, seorang graduan undang-undang, adalah rakan kepada ahli perniagaan, Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low yang kini menjadi buruan.

Dia merupakan salah salah seorang suspek yang dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak berjaya mengesan Loo sehinggalah dia ditahan selepas menyerah diri kepada pihak polis pada 7 Julai lalu.

Menurut Ayob Khan, hartanah yang dibeli oleh Loo termasuk lot hartanah di New York, AS bernilai USD4.6 juta, kondominium di AS bernilai RM21.4 juta, kondominium di London bernilai RM12.9 juta, dan dua lagi unit kondominium di Singapura.

Sembilan lukisan itu, katanya, dianggarkan bernilai RM8.1 juta. Lapan daripadanya dirampas di New York manakala satu lagi lukisan dikatakan berada di Switzerland.

Loo juga mempunyai lebih RM23 juta yang disimpan dalam akaun bank di AS, dan SGD4 juta lagi dalam akaun lain yang disimpan di sebuah bank di Singapura di bawah syarikat bernama Heartland Global Ltd.n.

Ayob memberitahu pemberita bahawa polis juga telah menyerbu sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur yang dikenal pasti sebagai lokasi yang digunakan Loo untuk menyimpan beberapa aset.

Pemeriksaan di beberapa premis semasa serbuan pada 17 Julai lalu menemui dua jam tangan mewah jenama Richard Mille dan Harry Winston, 13 beg tangan pelbagai jenama, satu gelang tangan dan beberapa dokumen.

Tambahnya, aset yang dirampas dianggarkan bernilai RM625,500.

"Kesemua aset kini dalam simpanan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial," kata Ayob.

Ditanya sama ada peguam itu bertemu Jho Low semasa melarikan diri, Ayob menafikannya.

Dia juga enggan mendedahkan lokasi Loo sebelum dia ditahan pada Julai lalu.

Ayob berkata pihak polis percaya Loo mungkin mengambil keputusan kembali ke Malaysia untuk menghadapi proses undang-undang di negara ini kerana kesukaran menetap di luar negara.

"Dia pun dah lama berada di perantauan. Mungkin dia nak balik nak settlekan semua kes ini. Sejauh mana dapat berlindung di luar negara pun satu masalah juga kan.

"Mungkin sebab tu nak balik dan serah diri untuk proses undang-undang di negara ini," katanya.

Ayob berkata Loo telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan dia dijangka akan dibebaskan untuk disiasat oleh agensi penguatkuasaan lain yang turut menjalankan siasatan terhadap kes berkaitan 1MDB tidak lama lagi.