Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuan Guru tak elak polis, sudah beri keterangan - Syahir
Diterbitkan:  Sep 4, 2023 5:14 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sudah memberikan keterangannya kepada polis awal hari ini.

Setiausaha politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, presiden parti itu disoal siasat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur oleh seorang pegawai penyiasat berpangkat Asisten Superintendan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, hari ini.

"Tuan Guru (Hadi) berikan sepenuh kerjasama, memberikan keterangan hampir satu jam dan telahpun selesai menjawab semua soalan yang dikehendaki oleh pihak polis," katanya kepada media di Kuala Lumpur,, hari ini.

Mohd Syahir Che Sulaiman

Dia berkata Hadi ditemani seorang peguam semasa proses rakaman keterangan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika perlu dirakam keterangan susulan.

Tambah Mohd Syahir, pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan Bukit Aman berkaitan perkara tersebut. 

“Jadi tidak timbul soal Tuan Guru tidak sihat atau berhelah dan mengelak untuk dirakam keterangan.

“Pertemuan dengan (bekas perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad) serta mesyuarat bersama  empat menteri besar (di negeri-negeri yang diterajui PN) itu sememangnya dalam jadual asal,” katanya. 

Razeef Rakimin

Semalam, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin mempersoalkan sama ada Hadi, berpura-pura sakit untuk menangguhkan proses merakamkan kenyataan dengan polis.

Hadi sedang disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos.

Semasa ucapan itu, dia dilaporkan berkata proses pemberian pengampunan di Malaysia bertentangan dengan ajaran Islam, dengan keluarga mangsa yang berhak untuk mengampuni kesalahan - dan bukannya Lembaga Pengampunan.

Lembaga Pengampunan di setiap negeri dilantik oleh Raja-Raja Melayu atau gabenor negeri, dengan Yang di-Pertuan Agong melantik lembaga itu untuk Wilayah Persekutuan.

Lihat Komen
ADS