Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Rembia 'masuk wad', tak mengadap lembaga disiplin Umno

Lembaga Disiplin Umno hari ini memanggil Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis bagi prosiding pendengaran berhubung tindakannya hadir ke program kempen PN di Johor baru-baru ini.

Surat yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Hafarizam Harun itu turut meminta Jailani menjawab surat tunjuk sebab yang telah diberikan kepadanya.

Bagaimanapun Muhammad Jailani tidak hadir ke sesi prosiding yang dijadualkan pada jam 2.30 petang tadi.

Jailani ketika dihubungi hari ini mengesahkan dia tidak dapat hadir atas sebab kesihatan.

Katanya, dia kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Melaka namun telah memberi jawapan bertulis kepada Lembaga Disiplin Umno.

"Tidak (hadir). Saya dalam wad, tapi saya (sudah) beri jawapan bertulis.

"Saya tidak hadir kerana saya dijadualkan masuk wad pagi semalam kerana kesihatan tidak mengizinkan. Sudah lama doktor suruh masuk wad dan ini amaran terakhir (untuk masuk wad)," katanya kepada Malaysiakini.

Jailani di program PN

Dia juga memaklumkan surat tunjuk sebab telah dihantar oleh pegawainya di ibu pejabat Umno hari ini.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin yang bertarikh 28 Ogos, Jailani didakwa telah melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos lalu.

Terdahulu, dia mempertahankan kehadirannya dengan berkata ia bukan atas kapasiti sebagai Adun Umno.

Menurut The Star, Jailani berkata dia hadir pada majlis itu bagi pihak Muafakat Nasional, sebuah NGO yang diterajui oleh bekas setiausaha agung BN Annuar Musa

Untuk rekod Jailani merupakan Pengerusi Muafakat Nasional Melaka.

Lihat Komen
ADS