Keputusan kes Zahid beri kesan positif - Ahmad Maslan
Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan yakin perkembangan terbaru kes Ahmad Zahid Hamidi tidak akan memberi kesan negatif kepada pilihan raya kecil (PRK) di Johor.
Sebaliknya, dia melihat keputusan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) untuk presiden Umno itu sebagai sesuatu yang "positif".
"Kes (keputusan) Zahid memberi kesan yang amat positif kerana akhirnya kebenaran dapat ditegakkan. Kalau kita melihat dari sudut begitu.
"Alhamdulillah. Saya tahu pihak yang tidak suka mesti melihat dari sudut negatif," katanya kepada pemberita di Muar.
Menyifatkan dirinya juga sebagai "mangsa kezaliman", Ahmad mengimbas kembali bagaimana dia diheret ke mahkamah kerana menerima dana 1MDB.
"Akhirnya kebenaran ditegakkan dan kita ada harapan terhadap proses keadilan di Malaysia. Kerana mereka membetulkan apa yang silap.
"Kezaliman dihentikan. Itu yang penting. Orang yang tak tahu, yang tak turun naik mahkamah, mereka tak ada rasa itu. Saya dua tahun lebih turun naik mahkamah," tambahnya.
Pada September 2021, Ahmad dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram dan memberi kenyataan palsu selepas bersetuju membayar kompaun RM1.1 juta.
Bagi kes Zahid, satu daripada 11 alasan yang disebut oleh pihak pendakwaan untuk menarik balik 47 pertuduhan adalah isu dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih.
Sambil melahirkan rasa terima kasih atas keputusan itu, Ahmad menyifatkan DNAA sebagai "berita gembira" untuk rakyat Malaysia dan juga bagi mereka "yang menilai keadilan dan membenci kezaliman."
"Pada mereka yang suka pada kezaliman dan tak suka pada keadilan tentu akan menganggap perkara ini tidak baik," tambahnya.
Mengulas tuntutan pihak yang mahu penjelasan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC), ahli majlis tertinggi Umno itu berkata pihak pendakwaan telah mendedahkan alasannya di mahkamah.
“Mereka (AGC) telah... menyatakan 11 sebab (untuk DNAA).
"AGC juga mengeluarkan kenyataan akhbar ringkas yang mengatakan hujah-hujah itu diterima (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur)," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/c679aaf716b3ab58794ec776990af1f6.jpg)
