Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ sentiasa tambah baik sistem JPJeBID
Diterbitkan:  Sep 9, 2023 9:10 AM
Dikemaskini: 12:59 AM

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa menambah baik sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dari semasa ke semasa bagi memastikan ia mesra pegguna.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya sentiasa mengadakan sesi perbincangan bersama agensi berkaitan dalam usaha menambah baik sistem terbabit.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberi maklum balas dan teguran terhadap sistem JPJeBid ini dan hasil perbincangan, JPH akan cadangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Sepadu JPJ di Plaza Tol Batu di Kuala Lumpur malam tadi.

Dia berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kekecewaan seorang selebriti lelaki terhadap sistem JPJeBid dan tindakan scalper (pembeli hantu) dalam proses membida nombor kenderaan yang disifatkannya menyusahkan orang lain.

Aedy Fadly turut mengakui sistem tersebut akan mengalami gangguan apabila aliran kemasukan pengguna dalam talian tinggi terutamanya melibatkan nombor bidaan istimewa.

"Contohnya nombor pendaftaran FF dan M_M ini, aliran trafik terlalu luar biasa pada 30 minit terakhir sebelum bidaan itu ditutup... tetapi bagi siri nombor pendaftaran dalam bidaan JPJ, ini tidak berlaku," katanya.

JPJ sebelum ini menawarkan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) prefiks M (hadapan) dan sufiks M (belakang) iaitu siri M_M sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Terdahulu Aedly Fadly meninjau operasi sepadu yang dilaksanakan bermula 8 malam hingga 12 tengah malam tadi dengan 4,640 kenderaan diperiksa.

Katanya sebanyak 746 saman dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi melibatkan tidak memiliki lesen memandu.

“Kami turut menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang memandu tanpa lesen bersama adik kembarnya.

"Mereka memberikan alasan mahu menghantar telefon bimbit ibunya yang bekerja di Kepong, Kuala Lumpur.

“JPJ memanggil ibu bapa pasangan kembar terbabit untuk tindakan lanjut dan kenderaan milik ibunya itu disita,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS