Kerajaan bercadang untuk menangani isu pegangan pemunya manfaat yang tidak didedahkan dalam syarikat bumiputera melalui kajian semula Akta Syarikat 2016 serta Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, kata Anwar Ibrahim.

Menurut perdana menteri langkah itu dibuat kerajaan bagi meningkatkan ketelusan dalam sesuatu pemilikan saham, sekali gus menekankan aspek tatakelola yang baik.

Kata Anwar pegangan penama yang tidak didedahkan kini menunjukkan peningkatan yang ketara.

"Sehubungan itu, saya ingin memaklumkan bahawa Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berhubung pengisytiharan pemunya manfaat sedang dalam semakan,” katanya.

Tambah Anwar semakan tersebut dibuat bagi memastikan sesuatu saham tidak dipindahkan secara rahsia kepada pihak tertentu.

Dia juga berkata dasar yang memfokuskan kepada memperkasa bumiputera sebelum ini mengutamakan penyertaan kumpulan terbabit dalam ekonomi menggunakan pemilikan ekuiti sebagai kayu pengukur.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak terbukti berkesan. Justeru tambah perdana menteri, kerajaan akan mengkaji semula pendekatan tersebut untuk mengukur penyertaan bumiputera dalam ekonomi secara lebih bermakna.

"Bagi tujuan ini, satu kongres ekonomi bumiputera akan diadakan pada Jan 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baru agenda bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif," katanya.

Tambah ahli parlimen Tambun itu lagi usaha memperkasa masyarakat bumiputera akan beralih daripada fokus kepada syarikat terpilih, kepada program pemerkasaan yang melibatkan lebih ramai usahawan syarikat bumiputera kecil dan sederhana.

Katanya pendekatan tersebut dibuat bagi mewujudkan kelas menengah bumiputera yang boleh beralih daripada bergantung kepada gaji semata-mata kepada membina perniagaan yang meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi.

Sementara itu, kata Anwar, syarikat bumiputera sedia ada berpeluang untuk terus mendapat manfaat kerajaan melalui peruntukan dana kepada 16 agensi bumiputera termasuk Mara, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tekun Nasional.

[Baca berita asal]