Kerajaan akan membangunkan profil ciri-ciri pelaku rasuah dan kaedah pengukuran integriti bagi memperkukuh serta membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam.

Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini bagi tujuan itu, kerajaan akan melaksanakan projek rintis menggunakan pemprofilan criminogenic (kecenderungan untuk melakukan jenayah) dengan agensi dan universiti awam terpilih.

“Pemprofilan ini akan menentukan tahap kecenderungan seseorang individu untuk terlibat dengan rasuah. Hasil pelaksanaan projek ini akan menentukan kesesuaian penggunaan pemprofilan criminogenic sebagai satu kaedah untuk membangunkan profil ciri pelaku rasuah dalam perkhidmatan awam,” menurut kajian itu.

Selain itu, kerajaan akan membangunkan kaedah pengukuran integriti dalam kepimpinan bagi tujuan pembangunan kerjaya dengan menggunakan instrument profil integriti kepimpinan itu.

“Pelan antirasuah baharu juga akan diperkenalkan sebagai garis panduan kepada semua institusi awam dan swasta berhubung isu integriti, tadbir urus dan rasuah.

“Di samping itu, perundangan baharu berkaitan anti rent-seeking akan dikaji bagi menggalakkan ketelusan dan kecekapan ekonomi,” menurut laporan itu.

Sementara itu, laporan itu menyebut bagi memperkukuh dan membudayakan integriti kerajaan juga akan memberi penekanan dalam pemantapan modal insan, membangun pemimpin berkualiti serta meningkatkan kompentensi penjawat awam.

“Bagi pemantapan modal insan, strategi yang akan dilaksana ialah memperkemas kaedah penempatan pegawai, membangunkan pemimpin berkualiti, meningkatkan kompetensi penjawat awam dan meningkatkan penyertaan Orang Kurang Upaya dalam perkhidmatan awam.

“Konsep ‘leaders create leaders’ akan diperkenalkan bagi memastikan keberkesanan peralihan pemimpin dalam sesebuah organisasi, serta diambil kira dalam Sistem Pemantauan dan Penilaian Petunjuk Prestasi Utama untuk ketua agensi,” menurut laporan tersebut.

Namun menurut laporan berkenaan, terdapat cabaran yang perlu ditangani antaranya ialah kelemahan dalam tadbir urus membabitkan pelaksanaan dasar dan perundangan yang kurang jelas, kapasiti penguatkuasaan terhad dan kadar pematuhan rendah serta salah laku rasuah.

- Bernama