Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, berkata cadangan supaya Umno bertanding sendirian dalam pilihan raya hanya pendapat pemimpin parti itu Isham Jalil.

“Itu Isham Jalil cakap, bukan Umno cakap. 

“Dia tak mewakili Umno.

“Dia hanya salah seorang pemimpin saja,” kata Loke dalam sidang media di sebuah hentian bas stesen LRT di ibu negara hari ini.

Dia mengulas kenyataan Isham bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya menitahkan pembentukan kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) bukan bergabung dalam pilihan raya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Umno hanya menang 19 kerusi walaupun bertanding di lebih 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam pilihan raya di enam negeri.

Isham Jalil

Isham sendiri yang juga anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sendiri menjangkakan dia akan dipecat bersama beberapa pemimpin Umno minggu ini.

Tindakan itu, dakwanya, kerana tidak sehaluan dengan keputusan parti itu untuk bekerjasama dengan DAP.

Sementara itu, menjawab kenyataan Loke, Isham berkata pandangannya mewakili akar umbi Umno.

Katanya, akar umbi mahu Umno mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bukan “mengikut telunjuk DAP” untuk perjuangkan Malaysian Malaysia. 

“Jika mahu tahu secara tepat apa yang akar umbi Umno mahu, YB boleh minta kepada kawan-kawan pro-DAP YB dalam Umno untuk buat referendum dan tanya tiga juta akar umbi Umno sama ada mereka mahu bekerjasama dengan DAP atau tidak,” katanya.