PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul hari ini tampil menjelaskan mengenai "janjinya" kepada ahli parlimen pembangkang yang didakwa "dimungkiri" semalam.

Menjelaskan perkara itu, Johari berkata, dia menolak usul tergempar dibawa Ahli Parlimen Machang, Wah Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berdasarkan peraturan mesyuarat 11(3) bagi menghalang sesuatu usul yang dikemuka di bawah peraturan mesyuarat 18(1) ditolak.

Jelasnya, dia tidak berjanji untuk memberi ruang kepada wakil rakyat pembangkang bercakap mengenai usul berkenaan selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Saya sebut (kepada) Arau dan Machang, saya kata selepas itu (akan beri ruang).

"Maksudnya dalam (tempoh) enam hari (persidangan) ini, yang berhormat boleh bercakap," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, pembangkang melahirkan rasa kecewa apabila Johari didakwa tidak menunaikan janji untuk memberi ruang kepada mereka bercakap mengenai usul tergempar yang dibawa Wan Ahmad Fayhsal.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, berkata pada awalnya Johari berjanji untuk memberi ruang kepada mereka bercakap selepas perdana menteri membentangkan KSP RMK12.

"Lepas perdana menteri habis bentang RMK12, mesyuarat terus ditangguh secara tegesa-gesa, sedangkan speaker berjanji untuk bagi kami ruang boleh bawa usul Perkara 18 (1) (Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat).

"Bagaikan ada arahan baru (apabila) speaker menangguhkan (persidangan) tergesa-gesa.

"Kita akan bawa lagi satu (usul tergempar) kepada speaker kerana mungkir janji... Kita tahu madani banyak berbohong, tiba-tiba kami tak dibenar," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Shahidan Kassim

Dalam pada itu, Johari berkata dia akan terus memberi peluang kepada ahli Parlimen pembangkang itu untuk bercakap.

"Saya tidak akan hentikan apabila isu ini dibangkitkan atau boleh bangun, Machang boleh bangun.

"Saya tak hentikan. Sebab itu saya mahu cakap, kalau bukan hari ini, kita ada enam hari (sidang ini).

"Hari ini boleh, esok boleh, itu maksud saya," katanya lagi.

Terdahulu, Johari menjelaskan alasan penolakan usul itu disebabkan satu kes duluan apabila speaker ketika itu menggunakan peraturan mesyuarat 11(3) untuk menghalang sesuatu usul yang dikemuka di bawah peraturan mesyuarat 18(1) ditolak.

"Saya tolak usul ini sebab ada precedent (duluan) iaitu pada Julai 2021... Speaker (ketika itu) Tan Sri Azhar Harun sudah menolak usul dikemuka Beruas dan Port Dickson untuk bincang isu tertentu di bawah 18(1) iaitu isu proklamasi darurat," jelasnya.