Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badrul Hisham diberkas polis malam ini
Diterbitkan:  Sep 14, 2023 8:53 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, di tengah Kuala Lumpur pada malam ini.

Penahanan Badrul Hisham - yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard - disahkah Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari kepada Malaysiakini.

Difahamkan penahanan itu dibuat di luar bangunan Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Penangkapan Badrul Hisham itu dibuat menjelang himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli mendakwa ia tiada kaitan dengan rancangan kumpulan pembangkang berhimpun pada Sabtu ini yang juga merupakan sambutan Hari Malaysia.

"Tak ada kaitan dengan himpunan," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata Badrul Hisham ditahan kerana gagal memberi kerjasama kepada siasatan polis dalam enam kes berasingan.

Mohd Shuhaily Mohd Zain

Katanya PDRM sudah memanggil Badrul Hisham beberapa kali untuk membantu siasatan selain mengeluarkan notis mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.

"Beliau terima notis tersebut tetapi menyatakan keengganan untuk hadir.

"Justeru pihak saya tak ada pilihan lain selain keluarkan waran tangkap," katanya semasa memberikan sidang media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi malam ini.

Mohd Shuhaily juga berkata enam kes berasingan yang dirujuk kepada polis itu adalah berdasarkan laporan yang dibuat terhadap siaran TikTok Badrul Hisham yang didakwa mengandungi kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam dan unsur hasutan.

Antara lain, katanya, Badrul Hisham mempersoalkan dakwaan "double standard" kerajaan dalam menangani isu berkaitan kaum, agama dan raja-raja Melayu

“Terdapat banyak unsur fitnah dalam kenyataannya,” kata Mohd Shuhaily.

Ditanya sama ada polis akan mendapatkan perintah reman terhadap Badrul Hisham, Mohd Shuhaily berkata PDRM akan "melakukan yang terbaik" untuk menyelesaikan soal siasat mereka dalam tempoh 24 jam pertama selepas penahanan kira-kira jam 8 malam tadi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS