Keluarga, rakan kenang allahyarham Haris Ibrahim
Ahli keluarga dan rakan-rakan allahyarham Haris Ibrahim berkumpul di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini bagi mengenang peguam yang juga merupakan aktivis itu.
Mereka bergilir-bergilir berkongsi pengalaman sepanjang mengenali peguam itu dan menyifatkan allahyarham sebagai seorang insan yang tidak pernah mementingkan diri dan seorang yang berprinsip.
Antara yang menyampaikan ucapan ialah bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan, timbalan pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom dan peguam Siti Kassim, Ashok Kandiah serta adiknya, Badri.
Azmi turut menyampaikan ucapan mewakili peguam Malik Imtiaz Sarwar dan menyampaikan beberapa buah lagu untuk mengenang Haris.
Dalam majlis itu mereka antara lain menceritakan bagaimana mula mengenali Haris dan bekerja bersama Allahyarham.
Pengacara majlis buat pertama kali mendedahkan kutipan dana bagi membantu Haris berjuang melawan kanser sebelum ini yang mencecah kira-kira RM500,000.
Baki wang sebanyak kira-kira RM150,000 akan disumbangkan kepada pusat kebajikan yang telah dipilih allahyarham.
Haris meninggal dunia pada 5 Ogos lalu pada usia 63 tahun selepas bertarung melawan kanser paru-paru.

Dalam tempoh 10 tahun sehingga 2010 Haris terlibat dalam banyak kes berkaitan kebebasan beragama dan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah.
Selepas itu, dia mengasaskan pergerakan Asalkan Bukan Umno bagi membentuk "kuasa ketiga" dalam politik Malaysia.
Haris meninggalkan seorang anak lelaki berusia 28 tahun dan seorang anak perempuan berusia 18 tahun.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/810161d370fed90ae9b2514cb7808fdc.jpg)
