Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat milikan tunggal paling tinggi elak bayar cukai di Pulau Pinang
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 8:55 AM
Dikemaskini: 12:55 AM

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang mendapati perniagaan milikan tunggal dikenal pasti sebagai kumpulan paling tinggi mengelak daripada membayar cukai di negeri itu.

Pengarahnya Norfaidah Daud berkata sehubungan itu, LHDN negeri akan mendekati kumpulan itu dengan memberi konsultasi menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0.

"Mengikut rekod LHDN Pulau Pinang, perniagaan milikan tunggal  mempunyai kadar ketidakpatuhan tertinggi dan akaun mereka didapati tidak teratur berbanding perniagaan lain.

"Kita perlu memperbaiki perkara itu agar kumpulan tersebut turut membayar cukai mengikut yang ditetapkan, sebab itu juga kami turun padang menerusi PKPS 2.0 ini bagi memberi penerangan berhubung pembayaran cukai," katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam, semalam.

Beliau ditemui selepas merasmikan dan Program Lawatan Konsultasi Hasil (LKH) 2.0 dan pelepasan  konvoi LKH sempena PKPS 2.0 untuk menyantuni syarikat dan individu di seluruh Pulau Pinang, di Menara Hasil Lokaliti Bukit Mertajam.

Norfaidah berkata PKPS 2.0 merupakan inisiatif dibuat pihak LHDN untuk menyokong prinsip kemampanan dalam pentadbiran percukaian negara seiring dengan konsep Malaysia Madani.

Katanya program yang ditawarkan memberi peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada meningkatkan tahap pematuhan cukai mereka berteraskan konsep AES (kesedaran, pendidikan, perkhidmatan) yang diamalkan di LHDN.

“PKPS 2.0 juga memberi peluang kepada pembayar cukai tampil secara sukarela untuk melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat serta  teratur," katanya.

Menurutnya LKH 2.0 yang dijalankan bermula hari ini hingga Khamis akan melibatkan 215 premis di seluruh negeri ini dengan objektif mewujudkan rasa keberadaan pasukan LHDN dalam kalangan pemain industri, memahami aktiviti perniagaan yang dijalankan dan cabaran yang dihadapi.

"Selain itu, ia bertujuan memberi khidmat nasihat percukaian yang relevan kepada pembayar cukai, melengkapkan proses tindakan undang-undang serta mempromosikan program LKH 2.0," katanya.

Sementara itu, Norfaidah berkata sebanyak 958,743 pembayar cukai di Pulau Pinang direkodkan pada tahun lepas dengan hasil kutipan cukai RM6.8 bilion iaitu negeri kedua kutipan cukai tertinggi di negara ini selepas Sarawak.

"Kami menyasarkan kutipan cukai lebih RM7 bilion tahun ini dan bulan lepas kami menyumbang 4.78 peratus daripada jumlah kutipan negara, manakala pada tahun lepas kami menyumbang 3.87 peratus," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS