Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Negara kekurangan lebih 20,000 guru - NUTP
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 9:35 AM
Dikemaskini: 1:35 AM

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendakwa hampir semua sekolah di seluruh negara kekurangan guru.

Presidennya, Aminuddin Awang dipetik oleh Berita Harian Online sebagai berkata, keadaan itu berlaku kerana tiada tenaga pengajar baru ditempatkan bagi menggantikan guru-guru yang sudah bersara.

Aminuddin Awang

"Boleh dikatakan hampir semua sekolah menghadapi kekurangan guru, termasuk sekolah dalam bandar. 

“Taburan dari segi kekurangan guru kini bukan lagi hanya di luar bandar, pada setiap sesi turun padang diadakan, pasti ada aduan mengenainya,” katanya.

Laporan itu menyebut dapatan berkenaan adalah berdasarkan kira-kira 50 program turun padang yang dilaksanakan NUTP di seluruh negara sepanjang tahun ini dengan isu kekurangan guru menyumbang aduan tertinggi bagi setiap sesi.

Malah, Aminuddin juga dipetik sebagai berkata, berdasarkan aduan, ada sekolah yang pernah mengalami kekurangan sehingga 10 guru pada satu masa, sekali gus menyebabkan bebanan kekosongan itu terpaksa ditanggung oleh tenaga pengajar lain.

"Apabila kita turun padang sesi bertemu ahli, kebanyakan aduan membabitkan guru yang sudah bersara belum diganti menyebabkan berlakunya kekurangan itu," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara paling ramai yang memohon bersara awal sejak dua tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, ia diikuti oleh guru Matematik, Pendidikan Islam, Sains dan Sejarah dengan jumlah keseluruhan seramai 6,890 pegawai.

KPM juga sebelum ini, membuka pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 tahun 2023 bagi mengatasi masalah kekurangan guru membabitkan 19,000 kekosongan seluruh negara.

Ketika ini ada kira-kira 418,000 guru di seluruh negara yang ditempatkan di 10,225 sekolah rendah dan menengah.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pertambahan beban guru juga dilihat menjadi antara punca ramai guru bersara awal selain kesukaran mengadaptasi dengan hal berkaitan teknologi.

"Kita melihat trend bersara awal ini sejak 10 tahun lalu apabila wujudnya perubahan sistem dan bebanan tugas yang bertambah.

"Jika dulu tiada kemudahan media sosial, namun kini malam pun guru menerima pesanan atau pertanyaan dari ibu bapa di aplikasi media sosial," katanya.

Dia juga dipetik oleh BH sebagai berkata, NUTP mahu pewartaan waktu bekerja harian bagi guru di negara ini melalui peruntukan undang-undang.

Menurutnya, ketika ini tiada pewartaan waktu bekerja harian bagi guru, sebaliknya yang ada hanyalah 45 jam bekerja dalam tempoh seminggu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS