Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurus Besar AKSB kini setiausaha politik MB Kelantan
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 1:41 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Nazmi Ghazali Azmi meletakkan jawatannya di syarikat terbabit untuk memulakan tugas barunya bersama kerajaan negeri.

Melepaskan jawatan itu sejak 17 Sept lalu, Nazmi kini berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud.

“Saya dah tidak lagi menjadi pengurus besar AKSB bermula 17 Sept.

"Saya kini menjadi setiausaha politik menteri besar.

"(Semoga) berjumpa lagi dalam arena yang lain,” katanya dalam pengumuman ringkas melalui grup WhatsApp AKSB dan media Kelantan.

Bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, turut mengesahkan pelantikan Nazmi.

Mohd Asri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit berkata dia yakin berbekalkan pelbagai pengalaman yang ada, Nazmi mampu menggalas tanggungjawab baru tersebut.

“Berbekalkan pengalaman yang banyak termasuk sebagai mantan pengurus besar AKSB, saya yakin beliau mampu menggalas amanat tersebut dengan penuh cemerlang, insya-Allah,” katanya dalam satu perkongsian hantaran Facebook sempena majlis sesi serahan tugas.

Mohd Asri (kanan) dan Nazmi

Mohd Asri berkata, ketika dia menjawat sebagai setiausaha politik menteri besar, Nazmi merupakan pengarah unit pemantauan dan pelaksanaan strategik (Spark) di Pejabat Menteri Besar Kelantan.

“Semasa saya memegang pengerusi bagi jawatankuasa menangani isu negeri, jawatankuasa penyelaras urusetia kerajaan negeri (Penggerak) dan jawatankuasa khas Kelantan Syncronization Information Force (Kelsif) beliau (Nazmi) merupakan setiausaha yang berjaya memastikan agenda bergerak mengikut ketetapan masa yang ditentukan,” katanya.

Sebagai rekod jawatan pengurus besar AKSB merupakan jawatan penting terutamanya apabila Kelantan sering dilaporkan mengalami masalah bekalan air.

AKSB merupakan syarikat induk bekalan air terawat bagi Kelantan.

Sementara itu Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kelantan menyatakan, majlis mengangkat sumpah jawatan berlangsung hari ini di hadapai Mohd Nassuruddin dan exco negeri di Kota Bharu.

Lihat Komen
ADS