Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wira tak didendang Batang Kali, Blake ditidurkan
Diterbitkan:  Sep 20, 2023 10:52 AM
Dikemaskini: 2:52 AM

Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Blake yang mencuri perhatian umum dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali Disember lepas, ditidurkan selepas dikesan menghidap barah limfoma.

Dalam insiden tanah runtuh itu, Blake dilaporkan mengalami kepenatan selepas dua hari berturut-turut bertungkus lumus membantu angggota JBPM dalam misi menyelamat dan perlu direhatkan.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan haiwan berkenaan ditidurkan pada 4.38 petang Isnin.

“Kehilangan Blake sudah pastinya dirasai oleh seluruh warga JBPM dan khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang enam tahun berkhidmat akan sentiasa dihargai dan dikenang. Selamat jalan Blake,” menurut kenyataan itu.

KPKT memaklumkan keputusan untuk menidurkan Blake merupakan hasil perbincangan bersama pakar veterinar, Dr Nur Alimah Rahman dan JBPM setelah mendapati tahap kesihatannya merosot secara mendadak dan sukar dipulihkan serta bagi mengelakkan anjing berkenaan menderita daripada kesakitan selain mengambil kira kebajikan haiwan itu.

Menurut KPKT anjing pengesan daripada disiplin Cadaver itu telah didiagnosis menghidapi barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lepas dan telah dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia pada Khamis lepas (14 Sept) apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing berkenaan.

"Sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, anjing ini gagal memberi respons kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar malah barah limfoma yang dikesan pada anjing itu juga semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar," menurut kenyataan itu.

KPKT memaklumkan Blake merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada 2017.

"Blake telah banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; operasi mencari dan menyelamat kepala air di Titi Hayun dekat Yan, Kedah dan operasi mengesan mangsa tertimbus di Kampung Telemong, Karak di Pahang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS