PAS menganggap apa yang berlaku pada kes mahkamah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menunjukkan Malaysia ketika ini bukanlah negara yang "kita idamkan".

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata dalam tempoh sembilan bulan - sejak berakhirnya PRU lalu - pelbagai langkah diambil parti kerajaan yang dianggapnya menyucikan PH dan Umno.

Apa yang berlaku itu, dakwa Idris, merupakan kejayaan besar dalam kerjasama politik parti-parti terbabit ketika kes Ahmad Zahid sudah dibuktikan wujud prima facie.

"Rakyat perlu tahu bahawa keputusan menarik balik pendakwaan (ke atas Ahmad Zahid) ini adalah keputusan pihak pendakwa raya , bukan keputusan mahkamah.

"Apabila pendakwa raya gugurkan pendakwaan, maka mahkamah tiada pilihan selain melepaskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 3 Sept lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah terpaksa berbuat demikian apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil keputusan untuk menghentikan prosiding dengan memberikan 11 alasan.

Buktikan di mahkamah

Peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh Pok Teik, pula memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan bagi mendapatkan pembebasan penuh ke atas timbalan perdana menteri berkenaan.

Malaysiakini sudah menghubungi pasukan pembelaan Ahmad Zahid beberapa kali bagi mendapatkan kepastian sama ada rayuan sudah difailkan atau sebaliknya.

Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang respon diberikan.

Pihak Ahmad Zahid mempunyai masa selama 14 hari dari tarikh keputusan dibuat hakim untuk mengemukakan rayuan.

Sesuatu kes berstatus DNAA membolehkan tertuduh didakwa semula jika AGC berpendapat ia wajar dilakukan, atau terdapat sebarang bukti baru.

Untuk rekod semasa keputusan menghentikan prosiding itu dibuat AGC diketuai Idrus Harun, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai peguam negara oleh pada Mac 2020 oleh kerajaan yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Ketika itu PAS adalah sebahagian daripada kerajaan PN.

Idris berkata "kejayaan" kerajaan ketika ini ialah gagal menyelesaikan pelbagai masalah termasuk ekonomi dan sara hidup rakyat ekoran tiadanya perancangan rapi.

Pada masa sama, dakwa ahli parlimen Bagan Serai itu, tidak sampai setahun berkuasa 47 kes mahkamah Ahmad Zahid "digugurkan".

"Saya yakin bukan ini negara yang kita idamkan.

"Jika ahli politik boleh berbuat sesuka hati, di mana letaknya keadilan dan integriti?" katanya.

Bekas menteri agama itu juga menganggap kerajaan tidak wajar terus mengelirukan orang ramai dengan dakwaan-dakwaan bagi membela diri dalam isu DNAA Ahmad Zahid.

"Cukuplah spin.

"Jika PH-BN yakin Ahmad Zahid tidak bersalah, maka buktikan di mahkamah. Itu yang rakyat dan PN tuntut," katanya.

Ahmad Zahid didakwa di mahkamah beberapa bulan selepas PH membentuk kerajaan melalui PRU ke-14 pada 2018.