Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun minta BNM campur tangan langkah caj peniaga guna kod QR
Diterbitkan:  Sep 22, 2023 11:54 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Seorang Adun kerajaan Johor menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) agar campur tangan dalam keputusan Public Bank untuk mengenakan caj kepada peniaga bagi bayaran menggunakan kod QR.

Adun Mengkibol Chew Chong Sin berkata keputusan itu tidak selari dengan usaha digitalisasi negara dan hanya menambahkan kos perniagaan.

Pada 14 September lalu, Public Bank mengumumkan peniaga akan dikenakan caj antara 0.25 peratus ke 0.5 peratus daripada jumlah traksaksi melalui kod QR.

"Langkah membenarkan Public Bank melaksanakan caj ini boleh menyebabkan bank komersial lain untuk melakukan perkara sama dan mengenakan caj terhadap peniaga untuk bayaran kod QR," kata Chew dalam kenyataan.

Chew berkata BNM seharusnya mengambil contoh China yang mengarahkan semua bank komersial untuk memansuhkan atau mengurangkan caj transaksi dan pengendalian untuk membantu peniaga.

"BNM perlu memainkan peranana proaktif dan memimpin bank komersial dalam membantu peniaga dengan memansuhkan atau mengurangkan caj ini, terutama ketika keaadan sukar di mana belanjawan negara mungkin tidak menyediakan subsidi yang signifikan kepada perniagaan kecil dan sederhana.

"Ini akan membantu mengurangkan beban kos operasi, terutama melibatkan pembayaran digital, berbanding menambahkan lagi beban itu," katanya lagi.

Chew berkata dia telah menulis surat kepada BNM bagi memaklumkan perkara ini, dengan salinan surat turut dihantar kepada perdana menteri dan menteri kewangan.

Lihat Komen
ADS