Masalah dalaman: Umno Jelutong digantung
Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung Umno Bahagian Jelutong berkuatkuasa serta merta bagi membolehkan bahagian itu menyelesaikan pelbagai masalah dalamannya.
Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung Umno Bahagian Jelutong berkuatkuasa serta merta bagi membolehkan bahagian itu menyelesaikan pelbagai masalah dalamannya.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebuah jawatankuasa kecil akan mengambil alih pentadbiran bahagian berkenaan.
Jawatankuasa kecil ini akan dipengerusikan oleh Senator Datuk Omar Faudzar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MT semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno, demikian menurut laporan Bernama.
Najib yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno berkata, keputusan itu dibuat kerana bahagian berkenaan gagal menyelesaikan masalah dalaman mereka sendiri.
"Bahagian ini mempunyai banyak masalah dalaman dan MT memutuskan ia merupakan penyelesaian terbaik. Mereka tidak dapat menyelesaikannya secara dalaman, jadi kita terpaksa gunakan cara ini," katanya.
Hanya sementara
Bagaimanapun, Najib berkata, langkah itu hanya bersifat sementara dan sebaik masalah itu diselesaikan, status bahagian itu akan dikembalikan.
"Mereka (jawatankuasa) akan mengendalikan bahagian itu untuk sementara waktu sehingga semuanya kembali stabil," kata Najib.
Sebelum ini, Ketua bahagian Jelutong, Datuk Abdul Rashid Ismail dan Timbalannya, Datuk Azman Shah Omar Shah digantung jawatan masing-masing kerana terbabit dalam politik wang dalam pemilihan parti 2004.
Berikutan itu, Naib Ketuanya Syed Hussein Syed Mohamed dilantik pemangku ketua.
Bagaimanapun, jawatankuasa perhubungan Umno Pulau Pinang kemudiannya mengambil alih pentadbiran bahagian itu.

