AS tarik balik larangan import dari syarikat sarung tangan Supermax
Amerika Syarikat telah menarik balik larangan import daripada pembuat sarung tangan Malaysia Supermax Corp selepas usaha syarikat itu untuk menghapuskan unsur-unsur buruh paksa dalam amalannya.
Ini berikutan beberapa siri pemeriksaan berkanun yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Buruh.
"Hasil pemeriksaan mendapati majikan telah melaksanakan remediation plan yang melibatkan 1,957 orang pekerja asing berjumlah RM25.67 juta.
"Selain itu, pihak Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM) juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama majikan bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan yang telah dan bakal dilakukan oleh pihak syarikat dalam menangani perkara ini.
"Usaha dan inisiatif berterusan yang diambil oleh syarikat di samping tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian melalui JTKSM telah berjaya meyakinkan pihak US CBP untuk menarik balik WRO ke atas Supermax Corporation Bhd dan anak syarikatnya," kata Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini.
Oleh itu, syarikat itu akan dibenarkan menyambung semula eksport sarung tangan getahnya ke Amerika Syarikat berkuat kuasa 18 Sept 2023.
WRO pertama kali dikeluarkan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS pada Okt 2021 selepas 10 daripada 11 penunjuk buruh paksa dikenal pasti dalam siasatan terhadap syarikat itu.
Penunjuk buruh paksa seperti yang dikenal pasti oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) termasuk jam kerja yang berlebihan, ikatan hutang, keganasan fizikal dan seksual, dan keadaan kerja dan kehidupan yang menindas.
CBP tidak memperincikan penunjuk yang ditemui di Supermax dan unitnya pada masa itu.
Pada April tahun ini, Supermax Corp dilaporkan menggesa bekas pekerja asing untuk memohon pembayaran balik apa-apa yuran yang dibayar untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat itu sebagai sebahagian daripada usahanya untuk melengkapkan transformasi dasar buruhnya.
Syarikat itu juga menubuhkan dana pada Mac 2022 untuk membayar balik yuran pengambilan bekas pekerja yang telah pulang ke negara asal mereka.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/10/d8bc0e70d187c366abc9eb02d7a49343.jpg)
