Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak maut ditetak di Felda Sahabat
Diterbitkan:  Sep 24, 2023 8:45 AM
Dikemaskini: 12:45 AM

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut dengan kesan tetakan di kepala, leher serta tangan dipercayai dilakukan oleh rakan bapa tirinya di perumahan pekerja Felda Sahabat 50, Lahad Datu pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, ibu dan bapa tiri mangsa yang juga warga asing serta pekerja am di ladang berkenaan keluar bekerja dan meninggalkan mangsa bersama suspek berumur 33 tahun.

"Mayat mangsa ditemukan berlumuran darah dan terdapat kesan tetakan objek tajam pada bahagian belakang kepala serta bahagian hadapan dan belakang leher selain putus tapak tangan kiri," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Rohan Shah, polis kini giat mengesan suspek warga Indonesia itu yang dikenali sebagai Paulus Poka Lolo berbangsa Timor dan merupakan pekerja am di ladang sama.

"Suspek menghilangkan diri selepas kejadian dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Rohan Shah turut memohon kerjasama penduduk di sekitar Felda Sahabat untuk menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu, ASP Kharuddin Hussain, menerusi talian 013-9071709, bagi membantu mengesan suspek.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS