LFL tegur gesaan SKMM ke atas laporan media
Lawyers for Liberty (LFL) tampil mengkritik gesaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini supaya akhbar mengamalkan kewartawanan yang bertanggungjawab dan tidak menyebarkan "kandungan manipulasi".
Dalam satu kenyataan, koordinator kempen NGO itu, Nabila Khairuddin, berkata kenyataan SKMM pada pada 22 Sept lalu itu adalah ancaman kepada kebebasan bersuara dan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
"Hak itu hanya boleh disekat seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang setakat yang perlu seperti yang dinyatakan dalam perkara 10(2)(a) misalnya demi kepentingan keselamatan, ketenteraman awam, atau moral," katanya.
Nabila berkata SKMM menggunakan alasan aneh untuk mewajarkan penguatkuasaan undang-undang masa lalu mereka bagi kandungan yang dianggap agensi itu sebagai mencetuskan rasa tidak hormat dan memecahbelahkan, manipulatif, mengelirukan dan salah maklumat.
“Bagi SKMM sewenang-wenangnya bercakap mengenai sekatan berita yang ‘tidak hormat’ atau ‘mengelirukan’ menunjukkan ketidakpedulian sepenuhnya mereka terhadap undang-undang dan kurang menghormati perlembagaan.
"Siapa yang memutuskan berita apa yang mengelirukan atau tidak tepat atau tidak hormat? Membenarkan kerajaan memutuskan perkara ini akan membawa kita ke arah pemerintahan diktator," kata Nabila.
Kenyataan LFL itu bagaimanapun tidak menyebut sebarang kejadian khusus melibatkan penguatkuasaan SKMM disalahgunakan.
Namun pada 22 Sept lalu agensi itu menegaskan keputusannya pada 20 Sept untuk menuntut pindaan atau penarikan balik artikel yang diterbitkan portal MalaysiaNow - yang setakat laporan ini ditulis - masih tidak diendahkan.
SKMM berkata artikel berkenaan melaporkan sidang Dewan Rakyat di luar konteks dengan niat untuk "menyebarkan kebencian atau mencetuskan provokasi".
Suruhanjaya itu melahirkan kebimbangan beberapa laporan organisasi media menjadikan berita sebagai "senjata" untuk "memanipulasi kandungan" serta "mencetuskan rasa tidak hormat dan naratif yang mengelirukan.
Sehubungan itu, organisasi media digesa mematuhi kod kandungan ditetapkan SKMM.
"Dengan mematuhi kod kandungan, pengamal media boleh memastikan pelaporan yang bertanggungjawab dan mengelak daripada melepasi sempadan undang-undang kebebasan bersuara," kata SKMM.
Putrajaya kini sedang mengusahakan rang undang-undang yang akan menyaksikan penubuhan majlis media sebagai badan kawal selia sendiri untuk industri media.
Rang undang-undang itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac depan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/2dedf58ddc2260becaefebf33fe5d73a.jpg)
