Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abdul Malek meninggal dunia
Jenazah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya selepas solat Jumaat hari ini. Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Putrajaya.
Jenazah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya selepas solat Jumaat hari ini. Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Putrajaya.
Abdul Malek, 62, yang juga pro-canselor Universiti Malaya, meninggal dunia malam tadi di Hospital Kuala Lumpur kerana barah otak. Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Roziah Sheikh Mohamed dan enam orang anak.
Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun turut berangkat menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Country Heights di Bangi dekat sini pagi ini, demikian menurut laporan Bernama.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berserta para hakim dan kakitangan Jabatan Kehakiman turut menziarahi jenazah Allahyarham.
Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang berada di luar Putrajaya sempat sampai untuk menghadiri upacara pengebumian Allahyarham.
Abang Allahyarham, Datuk Zainal Abidin, 66, berkata adiknya yang menghidap penyakit barah otak telah berada dalam keadaan serius sejak Disember tahun lalu setelah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak 22 Julai 2006 dan dua minggu lalu keadaannya bertambah serius sehingga tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, Allahyarham yang dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 12 Julai 2004, mengetahui yang beliau menghidap barah otak pada 20 November 2005 dan "doktor telah melakukan pembedahan serta-merta ke atasnya."
Barah otak
"Dia Okay selepas pembedahan. Bagaimanapun selepas enam bulan, iaitu pada 22 Julai 2006, dia mengadu sakit kepala dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur hinggalah dia meninggal dunia," katanya kepada Bernama semasa ditemui di kediaman Allahyarham.
Zainal Abidin berkata keadaan adiknya pada mula dimasukkan ke hospital tahun lalu adalah elok, boleh berkomunikasi, makan dan minum tetapi apabila kansernya merebak ke seluruh otaknya, beliau mula tidak boleh makan dan tidak boleh menelan.
Sementara itu, Roziah berkata, Allahyarham "seorang suami yang sempurna dan juga seorang bapa yang sempurna" kepada anak-anak mereka dengan yang sulung merupakan kembar berumur 24 tahun dan yang bongsu berumur lapan tahun.
"Tan Sri selalu berkata perkara yang baik sering kali datang lewat dalam hidupnya," katanya dengan penuh sayu.
Sepupu Allahyarham Siti Zabedah Mohd Sharif, pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata walaupun tegas dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang hakim, Allahyarham adalah seorang yang amat penyayang dan mesra.
"Walaupun bergelar Tan Sri dan memegang jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, sanggup ke dapur memasak.
"Malah jika isterinya tiada di rumah, beliau sendiri yang melayan dan menjamu tetamu. Beliau seorang yang amat merendah diri," katanya.
Allahyarham lulusan undang-undang dari Inner Temple, United Kingdom pada tahun 1965, adalah rakyat Malaysia yang pertama menerima "Honorary Overseas bencer of the Inner Temple, Inns of Court in Britian" pada Februari 2005.
Kes saman Anwar
Antara kes penting dikendalikan oleh Allahyarham ialah kes "saman fitnah oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1999" yang ketika itu beliau ialah Hakim Mahkamah Persekutuan.
Abdul Malek memulakan kariernya dalam bidang perundangan sebagai majistret di Kuala Lumpur selama 15 hari pada 1 Februari 1966 sebelum dipindahkan ke Kangar selama hampir tujuh bulan dan pada 1 Oktober 1966 dipindahkan ke Melaka.
Abdul Malek kemudian dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya di Pejabat Penasihat Undang-undang Pahang pada Jun 1969 dan lima bulan kemudian dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen, Butterworth.
Pada September 1972, beliau mengambil cuti belajar untuk melanjutkan pelajaran di University of Otawa, Kanada dalam bidang "Certification in Legislative Drafting" .
Pada Januari, 1985, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dilaporkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi yang termuda pernah dilantik di negara ini. Pada masa itu, umurnya baru 40 tahun.
Sepuluh tahun kemudian beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan pada Januari 2003 sebagai Hakim Mahkamah Khas, pada Julai 2004 sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan pada Ogos, 2005 dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Malaya.

