SPR setuju guna dakwat kekal dalam proses pengundian
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akhirnya bersetuju dengan cadangan untuk menggunakan dakwat kekal dalam proses pilihanraya bagi mengelak berlakunya perbuatan mengundi lebih daripada sekali.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akhirnya bersetuju dengan cadangan untuk menggunakan dakwat kekal dalam proses pilihanraya bagi mengelak berlakunya perbuatan mengundi lebih daripada sekali.
Cadangan tersebut sebelum ini dibuat oleh parti pembangkang dan badan pemantau pilihanraya di negara ini.
"Pada prinsipnya, iya, suruhanjaya telah bersetuju dengan cadangan itu sementara menunggu hasil penyelidikan lanjut mengenai dua isu," kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kepada malaysiakini hari ini.
Dua isu tersebut ialah sama ada perlu dibuat pindaan terhadap undang-undang berkaitan seperti Peraturan (perjalanan Pilihanraya) 1981 dan bahan (dakwat) yang akan digunakan untuk melaksanakan cadangan tersebut.
"Kita berharap akan sempat melaksanakan cadangan tersebut dalam pilihanraya umum akan datang kerana terdapat banyak permintaan, terutama daripada pihak pembangkang.
"Walaupun alasan mereka (supaya menggunakan dakwat kekal itu) adalah lemah kerana dakwaan penipuan pilihanraya tidak dibuktikan di mahkamah, tetapi kita masih bersetuju untuk memuaskan hati mereka," kata Abdul Rashid.
Cap jari, sistem biometrik
Enam bulan lalu, Abdul Rashid telah menolak cadangan tersebut atas alasan ianya sudah ketinggalan zaman.
Bagaimanapun, hari ini Abdul Rashid berkata, beliau tidak pernah menolak cadangan tersebut tetapi hanya berkata perkara itu perlu dibincang secara terperinci oleh anggota SPR.
Mengulas lanjut, pengerusi SPR itu berkata persetujuan untuk menggunakan dakwa kekal itu dicapai dalam mesyuarat di Pulau Pinang baru-baru ini yang dihadiri oleh anggota suruhanjaya tersebut dan pengerusi SPR negeri untuk membincang secara panjang lebar kaedah lain untuk menyekat perbuatan mengundi lebih daripada sekali.
Antara kaedah yang dibincangkan termasuklah pengenalan diri melalui cap cari dan penggunaan sistem biometrik tetapi SPR memutuskan bahawa penggunaan dakwat kekal adalah kaedah yang lebih mudah dan murah.
"Sistem biometrik dianggar membabitkan perbelanjaan RM30 juta dan akan digunakan hanya sekali bagi setiap lima hari dan mungkin kita terpaksa menukar sistem itu kemudiannya, manakala cap jari pula mungkin tidak mudah kerana sukar untuk mengesan cap jari jika tangan kotor," jelasnya.
Sebaliknya, kata beliau, kaedah menggunakan dakwat kekal itu telah diamalkan secara meluaskan di negara-negara lalin.
"Tetapi kita kena mencari produk jenis apa yang paling baik untuk kita guna, jika tidak ia akan menimbulkan lebih banyak masalah," kata Abdul Rashid.
Mengenai kemungkinan perlunya akta tersebut dipinda, Abdul Rashid berkata, beliau telah mengarahkan penasihat undang-undang SPR supaya mengkaji perkara itu.
"Jika undang-undang perlu dipinda, maka ia akan mengambil masa (untuk melaksanakan cadangan itu). Jika boleh, kita mahu melaksanakannya dalam pilihanraya umum akan datang, jika tidak selepas itulah," jawabnya.
Serah memorandum
Persetujuan EC itu telah disampaikan kepada delegasi pemimpin DAP yang mengadakan pertemuan dua jam di ibupejabat SPR di Putrajaya pagi ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Yang lainnya ialah Ahli Parlimen DAP Teresa Kok, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun.
Ketika mengalu-alukan persetujuan SPR untuk menggunakan dakwat kekal itu, Lim berkata, Rashid juga memberi jaminan untuk menggunakan kotak undi telus cahaya cadangan yang telah dipersetujui oleh SPR sebelum ini akan digunakan dalam pilihanraya akan datang.
Dalam mesyuarat tersebut, DAP juga telah menyerahkan memorandum kepada Rashid menggesa dilakukan pembaharuan dalam 10 bidang dalam sistem pilihanraya sebelum pengerusi SPR itu bersara hujung tahun ini. Berita asal

