Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon BN yakin raih sokongan pengundi Cina, India

Calon BN Amizar Abu Adam yakin dapat meraih sokongan pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya kecil (PRK) Pelangai pada 7 Okt nanti.

Jelasnya, sepanjang kempen PRK kali ini pengundi Cina dan India yang ditemuinya menyatakan sokongan penuh kepada BN.

"Penerimaan di kawasan kaum India (dapat dirasai) dan alhamdulillah penerimaan sangat baik dan mereka teruja menerima kehadiran (kita).

"...(Masyarakat Cina) mereka ini sangat-sangat teruja penerimaan kehadiran kita terhadap mereka dan mereka menyatakan sokongan 100 peratus kepada calon BN," katanya ketika ditemui ketika berkempen bersama masyarakat India di Sungai Gapoi, Bentong, hari ini.

"Itu (sokongan) adalah satu perkara yang sangat baik," tambahnya lagi.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Sementara itu, mengulas mengenai peringatan Pengerusi Umno Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail supaya jentera BN jangan leka, Amizar berkata dalam setiap pilihan raya semestinya jentera perlu berwaspada dengan setiap taktikal pihak lawan.

"Setiap pilihan raya kita tak tahu apa serangan-serangan yang berlaku...(jentera) mesti siap siaga 24 jam, sebab kita tak tahu apa yang berlaku. Strategi masing-masing," katanya lagi.

Selain itu Amizar berkata beliau akan melancarkan manifestonya dalam masa terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS