Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohd Amar dahului senarai 772 penerima darjah kebesaran Kelantan
Diterbitkan:  Sep 30, 2023 12:04 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Mohd Amar Abdullah hariini mendahului senarai 772 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-54 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Mohd Amar menerima anugerah Dato' Sri Amar D'Raja pada istiadat penganugerahan yang berlangsung di Istana Balai Besar di Kota Bharu yang disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Mohammad Ab Rahman menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima gelaran Datuk ialah Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Aminuddin Hassim yang dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK).

Tengku Dr Muhammad Faiz Petra turut berkenan menyampaikan darjah kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran kepada Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun; Pegawai Kewangan Negeri Kelantan Norazman Abd Ghani; Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh; Duta Besar Malaysia ke Indonesia Syed Md Hasrin Tengku Hussin@Syed Hussin serta Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Kota Bharu Roslan Abu Bakar.

Seramai sembilan penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed.

Lima penerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) pula termasuk Panglima Briged Ke-8 Infantri Brig Jen Azudin Hassan; Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK), seramai 15 penerima menerima darjah yang membawa gelaran Datuk itu, antaranya Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Mohd Zamri Abdul Aziz; Pengarah Tanah dan Galian Kelantan Rosnazli Amin dan Pakar Perunding Kardiologi Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Dr Mohd Sapawi Mohamed.

Penerima tunggal bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) yang juga membawa gelaran Datuk ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam Aidid Tajuddin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS