Jururawat maut disyaki ditikam suami di Arau
Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati isterinya dengan sebilah pisau di kediaman pasangan terbabit di Jalan Padang Nyu, Arau pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata mayat mangsa ditemui di bilik tidur kediaman berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dan ditutupi dengan selimut tebal.
Terdahulu, katanya, suspek tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis kira-kira jam 10 pagi.
Ahmad Mohsin berkata wanita berumur 31 tahun yang bekerja sebagai jururawat itu dipercayai ditikam dengan sebilah pisau pada dada kiri dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi.
Katanya kesan tikaman dianggarkan sedalam kira-kira dua sentimeter.
“Suspek yang merupakan seorang pesara tentera berumur 38 tahun dipercayai bergaduh dengan isterinya akibat cemburu," kata Ahmad Mohsin kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Tambahnya pasangan terbabit meninggalkan dua anak lelaki, masing-masing berusia lapan dan 10 tahun.
Katanya polis turut menemukan sebilah pisau yang disimpan dalam sebuah beg di dapur rumah itu yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Dia berkata mayat wanita terbabit dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Hospital, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Kes itu, katanya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/02/b443f2344fd280eb64d0e8569093c913.jpg)
