NGO mahu pendengaran PSSC kes Zahid secara langsung
Kumpulan hak asasi rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati Dan Penyeksaan (Madpet) menggesa pendengaran bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (PSSC) diadakan secara langsung.
Madpet membuat gesaan itu susulan siasatan PSSC terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara menarik balik 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes Yayasan Akalbudi.
“Ahli Parlimen dan Jawatankuasa Parlimen tidak boleh bimbang terhadap ketelusan ini, dan adalah penting untuk orang ramai mendengar apa yang berlaku, terutamanya apa yang dikatakan oleh orang yang dipanggil untuk memberi keterangan.
“Orang ramai ingin mengetahui dan memantau ahli Parlimen mereka yang terlibat, dan bagaimana wakil rakyat mereka berkelakuan dalam prosiding jawatankuasa dan membuat keputusan sedemikian. Mereka mahu mendengar semuanya, bukan sekadar kesimpulan akhir,” kata jurucakap Madpet Charles Hector dalam satu kenyataan hari ini.
Charles merujuk laporan SinChew yang memetik pengerusi PSSC William Leong sebagai berkata pendengaran jawatankuasa itu terhadap kes Zahid tidak akan disiarkan secara langsung.

Leong dilaporkan berkata, ini berikutan Peraturan Mesyuarat Parlimen yang menghalang amalan sedemikian.
Tidak jelas perintah tetap mana yang dimaksudkan oleh Leong.
Bagaimanapun, cadangan pada masa lepas agar mesyuarat jawatankuasa itu diadakan secara terbuka dipertikaikan dengan Peraturan Mesyuarat 85 yang menghalang ahli jawatankuasa daripada menyiarkan apa-apa dokumen sebelum laporan siasatan jawatankuasa itu disiapkan.
Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PM 85) menyatakan bahawa “Keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa-siapa ahli Jawatankuasa itu, atau oleh siapa-siapa jua, sebelum Jawatankuasaitu membawa penyata itu kepada Majlis".
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh pada 2022 berkata, speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat dengan merujuknya kepada Dewan untuk diputuskan, menurut Peraturan Mesyuarat 90(2).
Peraturan Mesyuarat 90 (2) menyatakan: sesuatu masalah yang bertujuan hendak merentikan kuat kuasa mana-mana Peraturan Mesyuarat atau harus menyebabkan boleh terhenti kuat kuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat, boleh dicadangkan hanya selepas dikeluarkan pemberitahu atau dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua yang hendaklah dengan serta-merta mengemukakan untuk diputuskan tanpa dibenarkan apa-apa perbahasan.
Charles juga berkata kerajaan boleh meminda Perintah Tetap Parlimen untuk membenarkan siaran langsung pendengaran itu bagi memastikan ketelusan parlimen.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/e16be8168d8a945d6f146a1a15c896b3.jpg)
