Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris menafikan wujudnya dua kem dalam parti itu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya, dia menjelaskan bahawa pemilihan pimpinan tertinggi Bersatu tidak diadakan tahun ini kerana tumpuan sepenuhnya mahu diberikan kepada pemilihan peringkat cawangan dan negeri.

“Salah satu sebab kita tangguhkan pemilihan kerana kita mahu betulkan cawangan dahulu terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Contohnya, di Sabah kita nak betulkan sebab di sana mereka keluar parti, YB-YB (Yang Berhormat) keluar parti.

“Jadi, kita juga nak bersidang nanti supaya dapat lantik perwakilan baharu, sebab dalam tempoh beberapa bulan ini lepas pilihan raya, ada ahli yang keluar masuk, sebab itu pemilihan peringkat cawangan perlu diadakan dahulu,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia, hari ini.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa wujudnya dua kem dalam Bersatu antara presiden, Muhyiddin Yassin dan setiausaha agung parti, Hamzah Zainuddin.

Ini bagaimanapun dinafikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yang sebaliknya mendakwa pihak luar mahu melihat parti itu berpecah dan lemah. 

Malah, katanya, sokongan terhadap Muhyiddin sebagai presiden masih utuh.

Mengulas lanjut, Razali berkata, susulan keputusan parti menangguhkan pemilihan sehingga tempoh 18 bulan pada Mei lalu, Bersatu tidak akan mengadakan pemilihan melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden, majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan peringkat bahagian tahun ini.

Sebaliknya, dia berkata, pemilihan di peringkat cawangan akan diadakan terlebih dahulu, sebelum pemilihan pimpinan tertinggi.

“Ramai yang tidak faham soal pemilihan Bersatu, hakikatnya tiada pemilihan peringkat pimpinan tinggi parti dan bahagian tahun ini, hanya peringkat cawangan diadakan kerana kita tangguhkan pemilihan sehingga 18 bulan, bukan dalam tempoh 18 bulan.

“Jadi, untuk mengatakan akan ada pemilihan pimpinan tertinggi tahun ini, ia tidak mungkin dan mustahil. Kalau nak tahu mengenai kedudukan presiden dan sebagainya, ini bukan masa yang sesuai, katanya lagi.