mk-logo
Berita
'Bila hujan, air keruh macam teh' - penduduk Orang Asli

Masyarakat Orang Asli berhampiran Bukit Galla di Nilai, Negeri Sembilan, terpaksa memasak dan mencuci dengan air tercemar.

Penduduk berkata aktiviti pembalakan di kawasan itu telah menjejaskan sumber air mereka dan walaupun telah membangkitkan isu tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan namun ia masih juga belum ditangani.

Jika pembalakan tidak dihentikan, jurucakap Kampung Orang Asli Sungai Mahang, Panjang Pandak, berkata tiada jalan lain bagi mereka selain mengadakan bantahan.

“Setiap kali hujan, bekalan air kami bertukar jadi warna teh. Kita minum, masak dan mandi dengan air yang tercemar ini,” katanya.

Tadahan air Bukit Galla

Panjang Pandak, 63, memberitahu Malaysiakini kira-kira 200 penduduk kampung telah mengalami masalah ini sejak 17 Ogos.

Menurutnya, penduduk di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin dan Kampung Orang Asli Tekir turut berdepan kesukaran yang sama.

“Selain tiga kampung yang terjejas ini, ada tiga lagi kampung yang terletak di kawasan itu. Bekalan air kami datang dari tadahan air dari Bukit Galla,” katanya lagi.

Pandak mendakwa aktiviti pembalakan itu turut menjejaskan sumber makanan dan pendapatan mereka.

“Tidak ramai antara kami yang bekerja di luar. Kami tinggal di dalam hutan dan dapatkan air, tumbuhan dan herba kami dari hutan. Kami juga memburu haiwan untuk makanan.

“Jika dia orang terus tebang pokok, semuanya akan habis. Ini hutan kecil,” keluhnya.

MB arah ambil tindakan

Panjang berkata dia telah menulis kepada banyak agensi termasuk menghantar surat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun serta memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya juga telah membuat aduan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di peringkat daerah dan negeri.

"Saya telah memfailkan laporan dengan Adun Nilai J Arul Kumar dan jabatan perhutanan negeri.

“Kami tak puas hati dengan maklum balas mereka... Dia orang cakap hal itu akan dibawa untuk perhatian pihak atasan," katanya.

Menurut surat daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang dilihat oleh Malaysiakini, aktiviti pembalakan yang dijalankan di petak 15 dan 16 Hutan Simpan Galla adalah sah.

Timbalan pengarah operasinya Noradli @ Mohd Adli Parsada berkata petak yang dinyatakan di atas merupakan kawasan yang diluluskan untuk kuota Yayasan Negeri Sembilan, yang dimiliki oleh Mahir Sekata Sdn Bhd, berkuat kuasa 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.

“Dalam perkara ini, pejabat akan terus memantau lokasi tersebut bagi memastikan tiada aktiviti hutan haram di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dijalankan,” kata Noradli.

Sementara itu, Aminuddin berkata jabatan perhutanan negeri diminta mengambil tindakan sewajarnya berhubung tuntutan masyarakat Orang Asli.

Menteri besar itu dipetik Bernama sebagai berkata jabatan tersebut juga diarah untuk terus memantau aktiviti pembalakan dan mengambil langkah untuk meminimumkan masalah.

"Saya selalu minta Jabatan Perhutanan lihat semula kawasan jika ada pelanggaran, tetapi menurut mereka tiada apa-apa yang melanggar peraturan.

"Pembalakan tersebut dibenarkan (sah), balak yang ditebang juga terpilih sahaja iaitu pokok yang matang sahaja.

"Kawasan pembalakan itu juga jauh dari kawasan penduduk, jadi tidak timbul isu," katanya kepada pemberita pada sidang media mesyuarat exco kerajaan Negeri Sembilan hari ini.

Menurut Aminuddin lagi, pihaknya ada menerima bantahan penduduk tetapi perkara tersebut telah dibincangkan antara Jabatan Perhutanan, pemilik lesen pembalakan dan masyarakat Orang Asli yang bersetuju di peringkat awal.

Lihat Komen
ADS