Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah melantik empat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk memperkasakan barisan kepimpinan parti itu dalam menghadapi pilihanraya umum yang dijangka diadakan Ogos depan.

Mereka ialah pemimpin PKR dari Pulau Pinang, Cheah Kah Peng; bekas Pengerusi Perhubungan Melaka, Omar Jaafar; bekas Naib Ketua Angkatan Muda, S Manikavasagam; dan bekas Timbalan Setiausaha Agung, Ang Hiok Gai.

Menurut kenyataan biro penerangan PKR, perlantikan baru tersebut diumumkan oleh Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat MPT pertama sesi 2007-2010 di Ibu Pejabat parti di Brickfields semalam.

Manakala Dr Xavier Jayakumar, bekas calon naib presiden, dilantik semula sebagai timbalan setiausaha agung, bersama dengan Low Chee Chong dan Abdul Halim M Yusuf. Tengku Mazariah Tengku Sulaiman pula dilantik sebagai timbalan bendahari.

Kenyataan itu memetik Anwar sebagai berkata, naib presiden, sama ada dipilih mahupun dilantik, diamanahkan untuk memberi tumpuan khusus kepada negeri dan kawasan tumpuan parti dalam Pilihanraya Umum Ke-12 yang dijangka diadakan pada Ogos depan.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali menyatakan rasa optimis terhadap barisan pimpinan baru yang datangnya dari pelbagai latarbelakang.

"Di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, saya yakin seluruh jentera parti akan jauh lebih mantap dan bersedia untuk berhadapan dengan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang datang," ujarnya.

Sementara itu, jawatan ketua perhubungan negeri (KPN) bagi setiap negeri dan beberapa pelantikan bagi jawatan ahli MPT akan diumumkan sebaik sahaja perbincangan dan penilaian yang lebih menyeluruh di peringkat pimpinan pusat.