Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah T’ganu: Kenapa tak larang atlet gimnastik lelaki juga?
Diterbitkan:  Oct 6, 2023 12:59 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Amanah menyambut baik keputusan Terengganu yang tidak membenarkan wanita menyertai sukan gimnastik.

Bagaimanapun, parti serpihan PAS itu berpendapat larangan itu tidak menyeluruh dan “berpilih-pilih”.

“Bahkan pekeliling yang sama juga perlu terpakai kepada atlet gimnastik lelaki jika dilihat melanggar etika pakaian patuh syariah. 

“Dalam hal ini, ia perlu tegas,” kata Ketua Pemuda Amanah Terengganu Zamir Ghazali dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Zamir Ghazali

Dia juga berkata larangan sama perlu diperluas kepada sukan lain seperti renang, bina badan, trek padang tidak kira melibatkan atlet lelaki atau perempuan.

“Pelaksanaan syariah melalui etika pakaian perlu menyeluruh dan tidak berpilih-pilih,” katanya.

Kelmarin exco sukan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim berkata atlet wanita tetap tidak dibenarkan menyertai gimnastik atas alasan berpakaian ketat dan mempamerkan bentuk badan.

Atlet gimnastik sedia ada diserap ke sukan wushu.

Sukan Wushu, gambar hiasan

Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri yang diperkenal pada Mac 2020 menetapkan atlet Islam hendaklah menutup aurat dan berpakaian sopan.

Sementara itu, Zamir juga berkata larangan sama perlu dilaksanakan di negeri-negeri PAS lain iaitu Kelantan, Kedah dan Perlis.

Katanya, ia perlu dilakukan supaya tiada kekeliruan tentang etika pakaian patuh syariah di negeri-negeri yang diperintah PAS.

Katanya, setakat ini garis panduan di negeri-negeri itu saling bercanggah.

Memberi contoh dalam kes panggung wayang, katanya, ia hanya haram di Kelantan sedangkan tiada isu di Kedah dan Terengganu.

“Garis panduan yang bertindih seperti ini mengelirukan ketika mana dasar parti PAS adalah sama iaitu Quran, Hadis, Ijmak ulama dan qias,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS