Kewarganegaraan: K'jaan digesa henti pinda perlembagaan bersifat regresif
Kerajaan digesa menghentikan pindaan Perlembagaan yang bersifat regresif berhubung kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan pertubuhan masyarakat sivil berkata kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa melakukan pindaan itu tanpa berunding dengan semua pihak berkepentingan secara telus.
“Cadangan pindaan regresif itu akan menghapuskan perlindungan dan hak sedia ada seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan ketiadaan kerakyatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sebaliknya, kerajaan cuba menambahkan lagi diskriminasi terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa dengan menafikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar nikah, anak-anak yang terbiar, dan anak angkat tanpa kerakyatan,” tambah mereka.
Kenyataan itu ditandatangani 14 pertubuhan termasuk Persatuan Peguam Wanita, Family Frontiers, Voice of Children dan Yayasan Chow Kit.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas kabinet dilaporkan meluluskan lapan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar Malaysia oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Turut dilaporkan hasil cadangan pindaan tersebut akan dibawa ke Majlis Raja-Raja yang akan bersidang dari 24-26 Okt.
Pada 1 Okt lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerajaan telah menyiapkan draf pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan tersebut.
Dia juga dipetik oleh media sebagai berkata, "Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan dengan sewenang-wenangnya
Sebagai respons, pertubuhan tersebut hari ini menolak dakwaan Saifuddin, dengan mengatakan tanggungjawab dan tugas kerajaan ialah memelihara dan memberikan kewarganegaraan.
Justeru, mereka menuntut agar terma dan ruang lingkup cadangan pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan itu didedahkan kepada semua pihak berkepentingan dan keluarga mereka yang terkesan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/63f22bd91fdbaaaa17cb73ce9f35e229.jpg)
