Seorang ahli perniagaan yang juga kenalan rapat Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan hasratnya untuk menubuhkan parti politik baru berasaskan kaum India di negara ini.

P Thiagarajan berkata demikian pada majlis “Komuniti India ke arah Masa Depan yang Lebih Cerah” di Klang semalam, dalam usaha memungut suara pemimpin masyarakat dan NGO India berhubung keperluan menubuhkan parti baru di negara ini.

Dia berkata, segala keputusan yang dibuat pada majlis itu akan disampaikan kepada perdana menteri dalam masa terdekat.

"Saya telah memberitahu kepada Anwar mengenai majlis hari ini. Beliau berkata 'teruskan'.

"Apa jua maklum balas hari ini, saya akan sampaikan kepadanya dalam masa terdekat.

"Sebarang keputusan muktamad akan diambil oleh beliau. Jangan risau, kita harap yang terbaik daripada PM kita," katanya pada majlis yang dihadiri lebih 400 orang terdiri daripada pemimpin dan wakil NGO daripada kalangan masyarakat India.

Turut hadir, bekas presiden MyPPP, M Kayveas, bekas setiausaha agung IPF K Panjamoorthy, bekas ahli parlimen Kapar S Manikavasagam, bekas Adun Kahang Ramis Subramaniam, bekas pemimpin veteran MIC Dr N Ganabaskaran dan penganjur majlis bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, KP Samy.

Terdahulu, KP Samy memberitahu Malaysiakini bahawa majlis hari ini adalah satu usaha untuk memungut suara pemimpin komuniti dan wakil NGO berhubung keperluan menubuhkan parti politik baru di negara ini.

"Para hadirin diberi kertas yang mempunyai empat pilihan iaitu, tubuh parti politik, tubuh NGO yang kuat, memperkasakan parti politik India yang kini berada bersama

BN dan menubuhkan sayap India di setiap parti komponen PH.

"Mereka patut tanda pilihan mereka. Daripada jumlah itu lebih 300 hadirin pilih tubuh parti politik baru," katanya.