Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata seteru parti itu telah beralih kepada menyasarkannya sebagai "pusat graviti" strategi mereka.

Kata Zahid, ia serupa ketika seteru Umno menggunakan "budak tingkat empat" semasa Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri dan kemudiannya, isu 1MDB semasa pentadbiran Najib Abdul Razak sebagai sasaran.

"Jelas daripada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu, kami beroleh kejayaan walaupun pada PRN baru-baru ini, kami tak dapat kejayaan kerana musuh politik guna isu 3R (agama, Raja dan kaum).

"Mereka guna pelbagai muslihat dengan bantuan 'musibat' parti untuk cemarkan imej kami. Apatah lagi, saya sendiri hadapi 87 dakwaan yang jelas mempunyai elemen pendakwaan politik terhadap saya.

"Mereka sengaja rosakkan imej saya kerana kaedah rosakkan organisasi, mencemar dan mengaibkan pemimpin utamanya adalah strategi mereka.

"Mereka lakukannya terhadap centre of gravity, ketika zaman Pak Lah (Abdullah) mereka guna fouth floor ('budak tingkat empat') sebagai sasaran. Kemudian centre of gravity (pusat graviti) ditumpukan kepada Najib, beliau dikotorkan dengan kes 1MDB dan perkara lain.

"Ketika saya ambil alih kepemimpinan Umno dalam penuh kepayahan, sudah tentu centre of gravity dialihkan kepada saya," kata Zahid seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Tambahnya, seteru Umno menggunakan isu agama dan orang Melayu kerana mahu mengambil alih peranan Umno.

Kata Zahid, pemimpin yang dipecat daripada Umno menubuhkan parti kerana mahu menghancurkan Umno.

Zahid mengakui terdapat perpecahan dalam Umno tetapi berkata ia bukan perkara baru dalam parti politik.

Jelas Zahid, dia tetap menghormati pihak yang berbeza pendapat dengannya meski tidak akan melayani mereka.

"Dulu mereka buat surat terbuka, tapi sekarang ini dunia berbeza dan kita tak boleh sekat. Sekarang, harus bertindak cepat untuk jawab soalan dan isu semasa.

"Kalau tidak lakukan tindakan melepasi tiga hari, maka persepsi ini sudah melekat di minda mereka (rakyat). Ini yang kami gagal suatu ketika dahulu,” katanya.

Mengimbas kembali masalah dalaman dan serangan luar Umno sejak beberapa tahun lalu, Zahid berkata terdapat terlalu banyak pengkhianatan pada masa itu yang akhirnya membawa dia menerajui jawatan tertinggi parti.

Katanya, sehingga kini, masih ada dalam kalangan Umno yang marah kepada parti itu, tetapi hanya kerana gagal memecahkan Umno dan tidak menjadi calon pada PRU15.

"Saya tak ambil tindakan sebelum itu, mereka itu pengkhianat kepada parti sendiri selepas pemilihan empat tahun lalu dan kini mereka dalam parti lain dan guna anasir luar memecahkan parti.

"Saya terima hakikat kami gagal dan hanya mempunyai 26 ahli Parlimen, tapi kami harus lihat mereka (bekas pemimpin Umno sertai parti lain) juga gagal," katanya.