Kerajaan Terengganu akan memperkasa penguatkuasaan "etika berpakaian mesra syariah" khususnya dalam kalangan pelancong asing beragama Islam.

Berita Harian memetik exco pelancongan, budaya, alam sekitar dan perubahan iklim negeri Razali Idris yang menekankan keperluan untuk pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih besar, dengan tumpuan kepada pulau percutian seperti Redang dan Perhentian yang menarik sejumlah besar pelancong antarabangsa.

"Etika pakaian mesra syariah bermula di semua pintu masuk ke negeri ini. Kita juga akan memasang papan tanda mengenai etika ini di semua pintu masuk ke Terengganu," kata Adun Kijal itu.

Arahan terbaru itu susulan keputusan kerajaan negeri untuk tidak menyertai acara gimnastik wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024 berikutan isu pakaian tidak patuh syariah.

Rabu lepas, Adun Ladang Zuraida Md Noor menggesa kerajaan memperkasakan penguatkuasaan syariah di negeri itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai etika berpakaian yang sesuai di kalangan orang luar.

Dia memetik kebimbangan mengenai kehadiran pelancong beragama Islam yang melanggar garis panduan pelancongan sedia ada sama ada kerana tidak maklum atau disebabkan penguatkuasaan yang lemah.

Mengulas lanjut, Razali mengakui kurangnya usaha mendidik pelancong asing mengenai etika berpakaian sehingga menyebabkan mereka yang berpakaian provokatif ketika bercuti di kepulauan Terengganu.

"Kita dalam usaha memperkasa dan mendidik pelancong Muslim dari dalam dan luar negara agar mematuhi etika berpakaian," katanya.