Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS bincang kerjasama empat negerinya dengan Singapura
Diterbitkan:  Oct 10, 2023 11:36 AM
Dikemaskini: 4:30 AM

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan pihaknya telah membincangkan kerjasama antara Singapura dengan negeri-negeri di bawah pentadbiran parti itu dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya perkara itu disentuh ketika menerima kunjung hormat Menteri Pembangunan Negara Singapura, Desmond Lee, semalam.

“Kami telah mengadakan perbincangan mengenai fokus pembangunan di Malaysia dan Singapura.

“Selain itu, pertemuan ini turut membincangkan potensi kerjasama Singapura dengan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang berada dibawah pentadbiran PAS dan PN,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Tuan Ibrahim yang juga bekas menteri alam sekitar dan air berkata, dia juga mengambil kesempatan mengalu-alukan Singapura untuk melabur di Malaysia dalam industri yang berpotensi seperti industri nadir bumi.

“Kami juga bertukar pandangan berkenaan dengan pelaksanaan gaji progresif yang telah dilaksanakan di Singapura.

“Seterusnya, PAS turut menyatakan kebersamaan dengan kerajaan Malaysia dalam mengecam kekejaman Israel terhadap umat Islam di Palestin,” kata anggota Parlimen Kubang Kerian itu.

Turut jumpa Zahid, Rafizi

Sementara itu dalam kunjungan ke Kuala Lumpur itu, Lee turut mengadakan siri pertemuan produktif dengan pemimpin pembangkang lain dan beberapa pemimpin kerajaan persekutuan termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya pertemuan itu dimulakan dengan sarapan pagi bersama Anggota Parlimen Putrajaya Mohd Radzi Jidin untuk memahami perspektifnya mengenai hal ekonomi.

“Selepas itu, saya bertemu dengan Menteri Perumahan dan Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, di mana kami membincangkan bidang kerjasama yang berpotensi, seperti di bandar pintar, pembaharuan bandar dan perancangan bandar.

“Pada sebelah petangnya, kami telah bermesyuarat di Putrajaya dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Selain itu tambah Lee, dia dan delegasi mengakhiri kunjungan dengan makan malam bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan rakan-rakan.

”Rafizi ialah pengerusi bersama saya dalam jawatankuasa bersama peringkat menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM).

“Terima kasih kepada semua rakan-rakan Malaysia kami yang melepaskan jadual sibuk mereka untuk bertemu dan melayani kami,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS