Bekas MP bidas Terengganu tukar Kg Cina jadi China Town
Bekas ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali membidas tindakan kerajaan negeri Terengganu yang dilaporkan akan menjenamakan semula Kampung Cina kepada ‘China Town’ atas alasan lebih komersil bagi menarik pelancong luar.
Menurutnya, nama sedia ada dalam bahasa Melayu itu sudah baik dan mempersoalkan tindakan penjenamaan dalam bahasa Inggeris.

“Harakahdaily melaporkan kerajaan Terengganu akan menjenamakan semula ‘Kampung Cina’ kepada ’China Town’ kerana lebih komersil bagi menarik pelancung luar.
“Elok-elok nama dalam bahasa Melayu tiba-tiba mahu dijenamakan kepada bahasa Inggeris? Di manakah kebanggaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan?” soalnya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam Harakahdaily melaporkan kerajaan Terengganu akan menjenamakan semula Kampung Cina yang terletak di Kuala Terengganu, kepada China Town dalam usaha menarik lebih ramai pelancong termasuk dari luar negara.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Razali Idris berkata pihaknya, akan mengadakan perbincangan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cina dalam masa terdekat, untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk aspek pembaharuan selaras dengan usaha penjenamaan semula lokasi berkenaan.

Menurutya penggunaan nama China Town yang bersifat antarabangsa, dilihat lebih komersil dan dijangka mampu menarik kunjungan pelancong antarabangsa ke Terengganu.
Sementara itu Khairuddin mempersoalkan apakah nilai komersil hanya pada bahasa Inggeris dan adakah pelancong luar datang melancong kerana namanya dalam bahasa Inggeris atau kerana ingin melihat budaya dan bahasa setempat.
Tegasnya, satu hal lagi kenapa mahu ditukar daripada ‘Cina’ yang merujuk kepada keturunan kepada ’China’ yang merujuk kepada negara China.
“Adakah negara luar yang mahu diiktiraf atau keturunan yang mahu diperakui?
“Saya berharap kerajaan Terengganu yang ditadbir oleh PAS mengekalkan nama asal ‘Kampung Cina’ bagi mengekalkan nama-nama kampung dalam bahasa Kebangsaan.
“Apatah lagi keturunan Cina di Terengganu rata-rata bertutur bahasa Melayu dialek Terengganu dengan fasih. Malah mereka turut berbangga dengan bahasa Melayu mereka,” jelasnya.
Tambah bekas menteri itu, jika penjenamaan itu dilakukan juga dia mencadangkan agar exco berkenaan turut menjenamakan semula Pekan Kijal kepada ‘Kijal Town’.
“Kalau nak tukar juga saya cadangkan exco berkenaan tukar juga pekan Kijal kepada ‘Kijal Town’ bagi menarik pelancong luar ke Pantai Kijal yang cantik,” katanya yang juga setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/12/0b46341f371da20b75a24badc6d441a5.jpg)
