PARLIMEN | Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari memfailkan usul tergempar di parlimen bagi membahaskan isu penyorokan beras putih tempatan susulan tindakan pihak berkuasa menyita sebuah kilang beras di Kedah semalam.

Bercakap dalam sidang media di parlimen hari ini, Taufiq berkata pihaknya telah memfailkan usul tersebut di bawah Peraturan 18 (1).

Katanya isu itu perlu dibahaskan di parlimen memandangkan kekurangan bekalan beras di pasaran tempatan telah berlarutan berbulan lamanya.

“Hal ini telah terbukti dengan dijumpai ada penyorokan beras. Isu ini perlu disegerakan kerana penyorokan beras yang didedahkan ini memerlukan penjelasan yang penuh daripada pihak berwajib dan perlu dibahaskan di dalam parlimen.

“Kita perlu rungkai siapakah yang bertanggungjawab di dalam jenayah ini dan isu ini adalah berkepentingan orang ramai kerana menjejaskan makanan ruji rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, sebuah kilang beras di Kedah disita, selepas disyaki menyorok beras putih tempatan berjumlah 180 tan metrik dianggarkan bernilai RM405,000, menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata pemeriksaan ke atas kilang itu mendapati, beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik, disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Mengulas lanjut, Taufiq menyifatkan jenayah yang dilakukan pihak terbabit merupakan pengkhianatan besar.

“Menjadi tanggungjawab saya untuk membawa isu ini kerana isu ini amat-amat dekat dengan hati saya dan telah menyebabkan kerugian rakyat negeri Kedah dan pengkhianatan yang dilakukan oleh pelaku,” katanya.

Gesaan agar usul tersebut dibahaskan di Parlimen turut dibuat Ahli Parlimen Batu, M Prabakaran; ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.