Goldman Sachs Group mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di mahkamah United Kingdom (UK) berhubung perjanjian penyelesaian yang dikaitkan dengan peranan bank itu dalam urusan 1MDB.

Reuters hari ini memetik sumber melaporkan tindakan timbang tara telah difailkan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

"Hari ini (semalam), kami memfailkan timbang tara terhadap kerajaan Malaysia kerana melanggar obligasi untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya berdasarkan jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami dan untuk mendapatkan semula aset lain," kata seorang jurucakap.

Reuters juga melaporkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan respons.

Malaysiakini telah menghubungi AGC untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Sebelum ini, dilaporkan Anwar mengancam untuk mengheret Goldman ke mahkamah.

Kedua-dua pihak terlibat dalam pertikaian mengenai perjanjian penyelesaian pada 2020, di mana bank berkenaan bersetuju membayar $3.9 bilion bagi penyelesaian siasatan jenayah di Malaysia berhubung peranannya dalam urusan itu.

Dalam pemfailan kawal selia awal tahun ini, Goldman berkata ia juga dikehendaki membuat pembayaran interim sekali sebanyak $250 juta jika kerajaan Malaysia tidak menerima sekurang-kurangnya $500 juta aset dan hasil menjelang Ogos tahun lepas.

Bank itu berkata kedua-dua pihak bertelagah berhubung sama ada Malaysia telah memperoleh semula sekurang-kurangnya $500 juta pada Ogos 2022 dan sama ada sebarang bayaran interim perlu dibayar.

Pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menganggarkan $4.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB membabitkan pegawai peringkat tertinggi syarikat itu.

Dilaporkan bahawa pendakwa berkata Goldman membantu 1MDB mengumpul $6.5 bilion melalui jualan bon, dan memperoleh bayaran sebanyak $600 juta.

AS telah memulangkan dana yang diperoleh daripada aset yang dirampas yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB.