Pasukan Petugas 1MDB: Prosiding undang-undang Goldman Sachs 'pramatang'
Pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk mendapatkan semula aset 1MDB "terkejut" dengan tindakan "pramatang" Goldman Sachs memulakan prosiding timbang tara terhadap kerajaan Malaysia.
Ini kerana kedua-dua pihak kini dalam peringkat "perbincangan dengan niat baik" berhubung obligasi Goldman Sachs ke atas pembayaran interim sebanyak AS$250 juta.
“Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB (Pemulihan Aset) agak terkejut dengan kelakuan Goldman Sachs kerana pihak-pihak terlibat masih dalam peringkat perbincangan dengan niat baik untuk menyelesaikan sebarang pertikaian secara baik.
"Bagaimanapun, berdasarkan peristiwa baru-baru ini, Kerajaan Malaysia bersedia untuk bertindak balas terhadap perkara ini dan memastikan proses ini dilakukan dengan tekun dan mengikut rangka kerja undang-undang yang ditetapkan sambil memastikan kepentingan rakyat Malaysia terpelihara," kata pengerusi pasukan petugas berkenaan, Johari Abdul Ghani.
Johari, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, berkata Goldman Sachs diwajibkan membayar sebanyak AS$250 juta pada 18 Ogos 2022.
Susulan itu, kerajaan bersetuju melanjutkan tarikh akhir sebanyak empat kali.
Setiap lanjutan diberikan selama tiga bulan dan lanjutan terkini dan keempat ditetapkan untuk tamat tempoh pada 8 Nov.
Johari menjelaskan ini bermakna pihak-pihak terlibat masih dalam peringkat "perbincangan dengan niat baik" dan kerajaan sebagai pihak yang rugi, melihat proses timbang tara Goldman Sachs sebagai "pramatang dan tanpa pertimbangan sewajarnya mengenai prasyarat yang diperlukan".
"Tindakan Goldman Sachs memulakan prosiding timbang tara juga nampaknya cuba untuk mengubah dan mengalihkan perhatian daripada kewajipan mereka untuk mematuhi syarat pembayaran interim AS$250 juta di bawah perjanjian penyelesaian.
“Namun, berhubung prosiding ini, kerajaan Malaysia akan bertindak balas terhadap perkara ini sewajarnya,” katanya.
Pentadbiran Muhyiddin Yassin mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs pada 18 Ogos 2020 yang bersetuju membayar AS$2.5 bilion dalam tempoh 10 hari dan jaminan AS$1.4 bilion untuk program pemulihan aset.
Johari berkata di bawah penyelesaian itu, jika Malaysia tidak mendapatkan semula aset sebanyak AS$500 juta menjelang 18 Ogos 2022, Goldman Sachs diwajibkan membayar AS$250 juta sebagai pembayaran interim.
"Pada 18 Ogos 2022, perakaunan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia kepada Goldman Sachs menunjukkan bahawa ia tidak memperoleh semula AS$500 juta dan oleh itu kerajaan Malaysia berhak menerima bayaran interim sebanyak AS$250 juta.
"Ini dipertikaikan oleh Goldman Sachs," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/58340d01ff42c59e042730ab914c8816.jpg)
