Persatuan perubatan hentam tinjauan saat-saat akhir kerajaan
Tinjauan kerajaan berkaitan generasi penamat rokok telah melambatkan proses meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Presidennya Azizan Abdul Aziz mempersoalkan tinjauan melalui MySejahtera di saat-saat akhir memandangkan kerajaan mempunyai masa berbulan-bulan lebih awal untuk menjalankannya.
“Semua kerja keras mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan telah dilakukan oleh jawatankuasa pilihan khas parlimen yang dipengerusikan oleh (bekas menteri kesihatan) Dzulkefly Ahmad.
“Lagi pun ramai rakyat Malaysia tidak lagi menggunakan atau sudah membuang aplikasi MySejahtera.
“Bermula dari langkah kerajaan mengeluarkan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun awal tahun ini, penangguhan dan sekarang langkah terbaru menjalankan tinjauan ketika RUU sepatutnya sudah dibacakan untuk kali kedua, di sebalik jaminan menteri kesihatan, kami tidak yakin kerajaan benar-benar komited untuk menjayakan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023,” katanya.

RUU itu bertujuan memperkenalkan undang-undang menyeluruh untuk mengawal semua produk tembakau dan vape.
Ini memandangkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 hanya mengawal penggunaan produk rokok berasaskan tembakau.
Tinjauan itu dijalankan Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa pada Rabu lepas meliputi beberapa soalan, antaranya berkaitan risiko merokok, generasi penamat dan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Sementara itu, Azizan menuntut komitmen kerajaan langkah Dzulkefly mengharamkan rokok di kedai makan semasa berkhidmat.
“Walaupun ia bukan keputusan popular buat sesetengah pihak pada masa itu, ia perkara yang betul untuk dilakukan untuk kebaikan kesihatan awam.
“Inilah komitmen yang kita mahu sekarang.
“Untuk benar-benar mengutamakan kesihatan awam, Kementerian Kesihatan mesti menunjukkan komitmen yang teguh dalam memerangi bahaya merokok dan vape,” katanya.
Katanya kerajaan harus tegas untuk memastikan RUU itu dijanjikan diluluskan secepat mungkin.
“Tiada kompromi, tiada penangguhan – hanya ini yang kita minta,” kata Azizan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/1f3838d5ca126082721328c242e53365.jpg)
