Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekatan terhadap laman web meningkat pada 2023 - Kajian
Diterbitkan:  Oct 14, 2023 3:53 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Sekatan terhadap laman web meningkat kepada 2.19 peratus antara April hingga Jun 2023 berbanding Julai hingga September 2022, iaitu sebanyak 1.58 peratus.

Kajian terbaru mengenai penapisan internet di Malaysia yang dijalankan oleh Projek Sinar itu dibuat berdasarkan data yang dikumpul melalui sistem pengesanan dan pelaporan Open Observatory Network Interference (Ooni) antara tempoh 1 Jun 2022 hingga 30 Jun 2023.

Kajian itu juga menunjukkan terdapat sedikit penurunan dalam kadar sekatan laman web dari Oktober hingga Disember 2022 (satu peratus) dan antara Januari hingga Mac 2023 (1.03 peratus) sebelum naik kepada 2.19 peratus pada April hingga Jun 2023.

"Tiga kategori laman web dengan peratusan tertinggi yang disekat dan berkemungkinan disekat ialah laman web pornografi, perjudian dan temu janji dalam talian.

"Menukarkan perkhidmatan nama domain (DNS) adalah kaedah utama yang digunakan bagi menyekat laman web," kata kajian itu.

Pornografi merekodkan peratusan tertinggi yang disekat dan berkemungkinan disekat pada 36.5 peratus, diikuti dengan perjudian dengan 18.9 peratus dan kemudian laman temu janji dalam talian dengan 13.8 peratus.

Kategori lain yang menunjukkan peratusan tinggi yang disekat dan berkemungkinan disekat termasuk kerajaan (11 peratus), pakaian provokatif (tujuh peratus), agama (6.3 peratus), kritikan politik (enam peratus) dan LGBT (5.6 peratus).

Kajian itu juga menyatakan bahawa portal berita MalaysiaNow dan blog Malaysia Today antara terbaru yang disekat dalam tempoh kajian dan kedua-dua laman web ini dianggap kritikal terhadap kerajaan hari ini.

Sementara itu, ia juga menyatakan bahawa laman web rasmi badan pemantau pilihan raya Bersih masih terus disekat.

MalaysiaNow sebelum ini dilaporkan disekat pada 28 Jun tahun ini, walaupun sekatan itu ditarik balik selepas kira-kira 48 jam.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menafikan sebarang arahan untuk menyekat laman web berita itu.

Sementara itu, Malaysia Today, sebuah blog berita yang dikendalikan oleh penulis kontroversi Raja Petra Kamaruddin, mula dikesan disekat pada 16 Okt 2022 dan disekat sekali-sekala sepanjang tempoh kajian.

Laman web Bersih pertama kali dilaporkan disekat dalam kajian penapisan internet tahun lalu dan kekal sepanjang kajian tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS