Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS batalkan jemputan ke muktamar bagi kedutaan sokong Israel
Diterbitkan:  Oct 18, 2023 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Pengisian muktamar tahunan PAS kali ke-69 di Shah Alam, mulai Jumaat hingga hujung minggu ini adalah berkonsepkan “solidariti terhadap perjuangan Palestin”.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata tema solidariti itu akan bermula daripada penegasan di dalam ucapan dasar oleh presiden parti Abdul Hadi Awang pada Sabtu ini yang kemudiannya akan dibahaskan oleh para perwakilan, disusuli beberapa acara bagi menzahirkan sokongan terhadap usaha pembebasan Palestin.

“(Aktiviti itu) antaranya doa wehdah, kutipan derma, unjuk rasa, serta pelancaran bantuan kebajikan dan projek pembangunan di Gaza yang dikendalikan oleh PAS Relief bersama rakan-rakan NGO,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan.

Menurutnya, senarai jemputan itu termasuk pimpinan parti-parti politik dan NGO antarabangsa, daripada Palestin, Turkiye, Asia Barat dan rantau nusantara.

Pada masa yang sama, katanya PAS juga telah membatalkan jemputan kepada beberapa kedutaan bagi negara-negara yang secara terbuka menyokong tindakan regim Zionis Israel dalam serangan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

“Jemputan kepada pimpinan parti komponen Perikatan Nasional, parti-parti politik dan NGO-NGO tempatan, termasuklah jemputan kepada tokoh negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah pun mengesahkan kehadiran sebagai tetamu jemputan,” katanya.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan insiden pengeboman sebuah hospital di Semenanjung Gaza sebagai perbuatan gila dan tidak berperikemanusiaan.

Dia turut mengulang semula kritikannya terhadap negara Barat kerana menutup mulut terhadap kekejaman itu yang meragut nyawa ratusan orang Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Hamas menyalahkan Israel berhubung serangan itu tetapi tentera Yahudi mendakwa hospital itu terkena roket yang dilepaskan oleh militan Palestin yang lain.

Dianggarkan lebih 500 terbunuh dalam insiden di utara Gaza itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS