Jawatankuasa untuk Melindungi Wartawan (CPJ) mengumumkan bahawa setakat 18 Okt, sekurang-kurangnya 19 wartawan adalah antara yang terkorban dalam konflik Gaza.

Menurut laporan CPJ, daripada 19 wartawan yang disahkan meninggal dunia, terdapat 15 warga Palestin, tiga warga Israel dan seorang warga Lubnan.

Lapan lagi dilaporkan cedera manakala tiga wartawan dilaporkan hilang atau ditahan, kata CPJ.

Sherif Mansour, penyelaras program CPJ untuk Timur Tengah dan Afrika Utara menyuarakan peringatan bahawa wartawan adalah orang awam yang melakukan kerja penting semasa krisis dan tidak boleh menjadi sasaran pihak yang bertelagah.

“Wartawan di seluruh rantau ini membuat pengorbanan besar untuk membuat liputan konflik yang menyayat hati ini. Semua pihak mesti mengambil langkah untuk memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Kumpulan itu berkata tidak jelas sama ada semua wartawan membuat liputan konflik pada masa kematian mereka, tetapi mereka telah dimasukkan dalam kiraan semasa menyiasat keadaan.

“CPJ sedang menyiasat semua laporan wartawan terbunuh, cedera, ditahan, atau hilang dalam perang, termasuk mereka yang cedera ketika permusuhan merebak ke negara jiran Lubnan,” katanya.

Wartawan itu adalah antara lebih 4,000 yang terkorban di kedua-dua pihak sejak konflik meletus pada Okt.